Anggota polis jadi 'guru' titip semangat murid SK Jerantut Jaya - Utusan Malaysia

Anggota polis jadi ‘guru’ titip semangat murid SK Jerantut Jaya

JAMALUDIN Baharun (dua dari depan) bersama dua anggota polis selaku Pegawai Perhubungan Sekolah memantau suasana hari pertama sekolah dibuka di pintu masuk Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kehadiran dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini bukan sahaja mengujakan malah memberikan semangat kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya di sini.

Selain sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), dua anggota terbabit, Sub-Inspektor (SI) Zahari Daud dan Koperal Mohamad Faizal Mohamad Peral juga bertindak sebagai ‘guru’ apabila menyantuni murid, ibu bapa dan penjaga di pintu masuk sekolah tersebut, semalam.

Sebelum pukul 7 pagi, dua anggota berkenaan bersama Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamaludin Baharun serta 59 orang guru sudah berada di pintu masuk kawasan sekolah dan kemudiannya menyertai acara perhimpunan sekolah yang disertai 887 orang murid di situ.

Menurut Jamaludin, kehadiran dua anggota polis sebagai PPS mengujakan guru, murid dan ibu bapa serta penjaga apabila memakai pakaian uniform yang kemas serta menunjukkan semangat dan ceria ketika bertugas.

“Ketika di pintu masuk sekolah, dua anggota tersebut sudah tercegat lebih awal memantau pergerakan lalu lintas kenderaan ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak ke sekolah.

“Nilai kemesraan yang dizahirkan oleh kedua anggota ini apabila bersalaman dengan ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak sambil menitip kata nasihat kepada murid supaya belajar bersungguh,” katanya di perkarangan SK Jerantut Jaya di sini.

Jamaludin berkata, setiap kali hari pertama sekolah dibuka sebelum ini, dua anggota berkenaan akan hadir malah terbabit dengan program ceramah berkaitan disiplin dan kerjaya yang dianjurkan oleh pihak sekolah menerusi aktiviti kokurikulum, koakademik dan bina insan sepanjang tahun.

“Kehadiran anggota polis sebagai PPS juga kemungkinan boleh menambat hati sebilangan murid termasuk di sekolah lain tentang kerjaya kepolisan yang banyak membantu ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN