Sultan Ibrahim lafaz sumpah perintah negara dengan adil - Utusan Malaysia

Sultan Ibrahim lafaz sumpah perintah negara dengan adil

SULTAN Ibrahim meninggalkan Balairung Seri selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-264 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam. – JABATAN PENERANGAN (
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berikrar menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dengan seadil-adilnya sepanjang tempoh memerintah negara berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Semasa melafaz sumpah da­lam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara itu, Seri Paduka turut bertitah akan terus memelihara agama Islam.

“Kami, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersum­pah dengan melafazkan wallahi, wabillahi watallahi, maka dengan lafaz ini, berikrar de­ngan sesungguh dan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tugas adilnya bagi pemerintahan Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.

“Kami berikrar mengaku de­ngan sesungguhnya dan sebenarnya memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim, 65, menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan peme­rintahannya kelmarin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 67, turut me­lafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Ini kali ketiga Sultan Nazrin Shah meng­angkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 2016.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Terengganu, Se­langor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

DIWAKILI

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor; Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang; Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan, yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara pukul 11 pagi.
Mesyuarat khas tersebut dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali Ke-263 (Khas) Oktober tahun lalu, Sultan Johor dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, manakala Sultan Nazrin Shah dilantik semula sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun mulai 31 Januari.

Malaysia salah sebuah daripada 43 negara yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggi­liran dalam kalangan sembilan raja Melayu.
Terdahulu, kira-kira 30,000 rakyat Johor mengiringi keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

DAULAT TUANKU

Sepanjang berbaris di laluan 35.5 kilometer itu, rakyat melaungkan Daulat Tuanku sambil mengibarkan bendera Johor.

Mereka mengiring perjalanan Sultan Ibrahim yang dibawa menaiki kenderaan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk berlepas ke Istana Negara.

Asmah Yusof, 58, dan menantunya, Dewi Pengiran Samsudin, 35, tiba di Jalan Skudai berhampiran Kampung Pasir, di sini seawal pukul 6.15 pagi bagi menyaksikan detik bersejarah itu.

“Sebelum ini, kami tidak pernah terlepas peluang menghadiri program kemasyarakatan yang dihadiri Sultan Johor seperti Jamuan Hari Raya dan Kembara Mahkota Johor,” katanya yang pernah berjabat tangan dengan Sultan Ibrahim.

K. Vadivelu, 48, turut tidak melepaskan peluang menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim kerana tidak pernah melihat Sultan Johor dari dekat.

“Saya habis kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura 5 pagi terus ke sini untuk melihat Sultan Ibrahim berangkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN