PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sekali-kali melindungi mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat salah laku termasuk jenayah dan rasuah atau apa-apa perbuatan yang mencalarkan imej pasukan keramat itu.
Itu penegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika ditanya mengenai isu integriti termasuk banyka kes jenayah membabitkan pegawai dan anggota polis sejak kebelakangan ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Razarudin berkata, mana-mana anggota dan pegawai yang terpalit dengan apa-apa isu salah laku akan ditukarkan ke bahagian lain buat sementara waktu atau digantung serta ditahan kerja sepanjang proses siasatan dilakukan.
TATATERTIB
Katanya, sekiranya siasatan membuktikan wujud kesalahan tatatertib, maka pegawai polis berkenaan akan berhadapan dengan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kita tidak pernah melindungi mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan isu salah laku, malah saya telah memberi arahan kepada Ketua Polis Negeri (CPO) dan Ketua Polis Daerah (KPD) untuk menukarkan mereka ke bahagian lain sepanjang siasatan dilakukan.
“Ini terbukti apabila seramai 782 individu membabitkan 694 anggota dan 88 pegawai kanan yang telah digantung dan ditahan kerja dan 139 individu telah dibuang kerja akibat terbabit dalam isu integriti pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, sebanyak 6,440 aduan yang diterima membabitkan isu integriti, pentadbiran rasuah dan kesalahan umum termasuk jenayah diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman membabitkan anggota dan pegawai sepanjang tahun lalu.
Jelas beliau, daripada jumlah terbabit, pihaknya paling banyak menerima aduan berhubung isu integriti iaitu 3,438 kes.
INTEGRITI
Ujarnya lagi, antara aduan diterima melibatkan isu integriti adalah terlibat dengan jenayah; tidak berpuas hati dengan siasatan; tidak bayar hutang; tidak hadir bekerja; mengutip wang perlindungan, bersekongkol dengan penjenayah dan salah guna kuasa.
“Selain itu, sebanyak 903 aduan diterima berkaitan kesalahan governans atau pentadbiran antaranya membabitkan hal berkaitan penugasan, penyeliaan dan perkhidmatan.
“Kira-kira 156 kes pula membabitkan kesalahan rasuah seperti menerima dan meminta, tuntutan palsu, salah guna kuasa serta penyelewengan dan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.
Dalam tempoh sama, Razarudin berkata, sebanyak 1,943 kes membabitkan kesalahan umum antaranya aktiviti berjudi, aduan agensi luar, trafik, jenayah dan dadah.
“Ingin ditegaskan, peringkat tertinggi PDRM tidak akan berkompromi terhadap mereka (anggota dan pegawai) yang terbabit dengan isu salah laku atau apa-apa kesalahan sekalipun.
“Mereka ini akan dihukum setimpal berlandaskan undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedia ada,” ujarnya.
Beliau mengingatkan setiap pegawai dan anggota polis mesti memastikan tahap disiplin berada di tahap yang paling tinggi dan sentiasa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan agar dapat memelihara nama baik pasukan.
Sebelum ini, Razarudin mengingatkan semua penyelia termasuk pengurusan tertinggi PDRM serta CPO dan OCPD perlu memperkasakan Peraturan 3C, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat. – UTUSAN








