KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berani membuat rombakan ekonomi yang memberi impak kepada negara dalam tempoh jangka masa panjang, sekali gus memberi kesan positif kepada masyarakat dan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah itu juga perlu bagi menangani kejatuhan ringgit ketika ini sehingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak perlu mengambil kira pandangan bahawa kadar pertukaran ringgit jatuh sudah berlaku sejak 15 tahun lalu, sekali gus membayangkan terdapat masalah dari segi asas ekonomi di Malaysia yang perlu diperbaiki.
“Kalau kita bandingkan negara kita dengan Korea Selatan selepas krisis kewangan 1998, pertumbuhan ekonomi di negara itu sangat baik dan hari ini mereka menjadi antara ekonomi terbesar dunia, tetapi Malaysia masih di takuk lama.
“Jadi apa kita perlu bimbang adalah kita tidak berani berubah dan perubahan itu sangat penting, kita perlu merombak ekonomi segera untuk jangka masa panjang,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi ekonomi negara hari ini tidak boleh disamakan dengan krisis kewangan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik meskipun nilai ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
KADAR
Anwar berkata, pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi, selain tiada pelaburan asing masuk dalam negara.
Mengulas lanjut perkara itu, Barjoyai turut berkata, rombakan ekonomi itu melibatkan kebergantungan negara kepada pelabur asing.
“Kita terlalu bergantung kepada pelaburan asing di mana ia bagus menjadikan kita sangat cemerlang pada 2021 dan menjadi satu dari negara terbaik di dunia.
“Namun, kita tidak boleh bergantung kepada pelaburan asing kerana dunia kompetitif akan menjadikan negara-negara yang murah seperti Vietnam dan Kemboja, jadi kita akan tertinggal kalau bergantung kepada pelabur asing.
“Kerajaan juga perlu membuat rombakan dari segi sumber tenaga manusia. Sehingga hari ini, sebanyak 70 peratus daripada kumpulan pekerja kita di Malaysia adalah pekerja yang tidak mahir, hanya 30 peratus yang mahir,” ujarnya.
Untuk rekod, ringgit jatuh ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun apabila merekodkan RM4.7 berbanding dolar AS baru-baru ini. – UTUSAN










