Remaja maut ketika mendulang emas di Lipis - Utusan Malaysia

Remaja maut ketika mendulang emas di Lipis

TEMPAT kejadian ketika mangsa sedang menggali emas lalu tertimbus dan lemas berdekatan Kampung Pantos di Lipis, Pahang - FOTO IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang remaja berusia 18 tahun maut tertimbus ketika mendulang emas berdekatan Kampung Pantos di sini.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari semalam, mangsa, Budiman Johan bersama empat rakannya dipercayai melakukan aktiviti mencari emas dengan menggali tanah menggunakan tangan di ladang sawit milik Risda berdekatan kawasan pembetong parit di kampung tersebut.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, mangsa dan empat rakannya telah ke pergi tempat kejadian pada pukul 3 pagi semalam.

“Semasa mendulang emas, mangsa juga turut menggali tanah dengan menggunakan tangan.

“Ketika mendulang, tanpa disedari berlaku gelungsuran tanah dan jatuh menimpa mangsa menyebabkannya tertimbus dan lemas,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Azli, rakan Budiman membantu mengeluarkannya dari timbunan tanah dan kemudiannya membawa pulang ke rumah mangsa di Kampung Pantos.

“Semasa anggota polis tiba di tempat kejadian tiada jentera ditemukan atau digunakan di kawasan itu untuk mencari emas.

“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Koyan mendapati mangsa meninggal dunia,” katanya.

Ujarnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan hasil bedah siasat punca kematian disebabkan ‘Asphyxia Due To Landslide’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×