SEREMBAN: Semua pihak perlu bertenang dalam menghadapi keputusan pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang telah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun terdapat beberapa pihak tidak berpuas hati namun ia merupakan keputusan muktamad dan ia perlu dihormati semua pihak.
“Saya harap semua pihak bertenang untuk hadapi keputusan ini, namun begitu daripada segi kes-kes yang lain ia tetap berjalan.
“Sudah tentu keputusan ini menimbulkan pelbagai reaksi, mungkin ada pihak yang juga tidak puas hati Datuk Seri Najib tidak diampunkan, ada pihak tidak berpuas hati kerana hukuman dikurangkan.
“Namun begitu apabila keputusan telah dimuktamadkan, dari pihak DAP, memohon semua pihak bertenang untuk hadapi keadaan ini,” katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.
Beliau menambah, DAP menyedari ada dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang turut kecewa.
“Ini sesuatu yang kami rasai dan dengar pandangan dan juga perasaan kekecewaan tersebut, namun begitu keputusan Lembaga Pengampunan adalah sesuatu keputusan muktamad dan Lembaga Pengampunan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau lagi.
Anthony Loke yang merupakan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, pihak Jemaah Menteri juga tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam keputusan tersebut.
“Ia satu keputusan yang telah dimuktamadkan Yang di-Pertuan Agong jadi dalam sistem keadilan negara di mana keputusan mahkamah telah pun dibuat, mana-mana orang yang didapati bersalah, ada ruang untuk merayu kepada pihak Lembaga Pengampunan untuk diampunkan atau dikurangkan hukuman mereka.
“Apa yang berlaku adalah keputusan Lembaga Pengampunan telah kurangkan hukuman, perkara ini perlu dilihat bahawa yang pertamanya, hukuman terhadap Datuk Seri Najib tidak dibatalkan bermaksud keputusan oleh pihak mahkamah yang dapati Datuk Seri Najib bersalah dalam kes SRC tetap diangkat.
“Cuma jumlah hukman itu dikurangkan jadi apa sebab dikurangkan sudah tentu Lembaga Pengampunan ada ambil kira pelbagai pertimbangan yang kita juga tidak tahu kerana perbincangan Lembaga Pengampunan satu sidang tertutup,” katanya beliau lagi.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Najib diberikan pengampunan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh urusetia lembaga tersebut semalam, oleh yang demikian bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini dihukum penjara selama 12 tahun dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara itu akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.-UTUSAN.











