Baung ekor merah ancam Sungai Pahang - Utusan Malaysia

Baung ekor merah ancam Sungai Pahang

WAN Rosdy Wan Ismail menyampaikan bantuan kepada penduduk sempena Majlis Perasmian Pahang First Tawan Baung Ekor Merah Fest di Kuala Krau, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAU: Khazanah ikan air tawar tempatan Sungai Pahang seperti patin, jelawat, kerai dan lampam berdepan ancaman kepupusan akibat kerakusan spesies pemangsa, baung ekor merah yang bakal menguasai perairan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang, sekiranya tidak dibendung.

Kerajaan negeri melancarkan usaha memburu baung ekor merah secara serentak di tujuh lokasi dengan peruntukan RM450,000, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan MBOR itu diberikan berdasarkan jumlah tangkapan yang direkod dan disahkan menerusi penganjuran Pahang First Tawan Baung Ekor Merah Fest.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kerajaan negeri tidak serius dan bersungguh-sungguh memastikan ikan baung ekor merah ini dapat dikurangkan atau dihapuskan, percayalah suatu hari nanti mungkin ikan patin, kerai, jelawat dan lampam akan pupus di sungai-sungai Pahang.

“Kita sudah kaji, tidak sampai lima tahun mungkin habis semua ikan yang sedia ada dalam sungai disebabkan ancaman ikan baung ekor merah ini. Sebab itulah kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu menghapuskan spesies ini supaya ikan-ikan tempatan yang telah lama menjadi khazanah sungai kita terus terpelihara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pahang First Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari, Kuala Krau di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, baung ekor merah merupakan spesies asing yang sangat agresif dan mampu memakan beberapa ekor ikan lain dalam sehari sehingga mengancam keseimbangan ekosistem sungai.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan spesies pemangsa itu terus membiak tanpa kawalan sehingga menjejaskan populasi ikan tempatan yang mempunyai nilai ekonomi dan menjadi sebahagian daripada warisan Sungai Pahang.

“Kita mahu tawan baung ekor merah ini sehabis-habisnya. Kalau boleh, kosongkan sungai-sungai Pahang daripada spesies ini supaya ikan tempatan dapat terus hidup dan membiak. Program ini bukan berakhir hari ini sahaja. Kita akan teruskan sehingga ikan baung ekor merah dapat dikurangkan atau dihapuskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini