Naik taraf LRA Benta: 10,000 pengguna nikmati air bersih bermula September ini - Utusan Malaysia

Naik taraf LRA Benta: 10,000 pengguna nikmati air bersih bermula September ini

ABDUL RAHMAN Mohamad (kanan) beramah mesra dengan sebuah keluarga Tionghoa ketika menyertai sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di pekan Benta di Lipis, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kira-kira 10,000 pengguna di kawasan Benta akan menerima kemudahan bekalan air terawat lebih selesa menjelang September ini apabila kerja menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) di sini bernilai RM9.2 juta siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek itu membabitkan pembinaan tangki perkhidmatan berkapasiti 3,000 meter padu, membina tangki sedutan, rumah pam dan membekal serta memasang paip dari tangki air Benta ke kawasan perumahan termasuk Kampung Tersusun Jerkoh sepanjang lima kilometer.

“Hasrat serta komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk mengatasi masalah bekalan air di Benta dan negeri ini amnya telahpun memohon pengurusan tertinggi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) melaksanakan projek menaiktaraf LRA di sini dalam usaha menambah baik perkhidmatan bekalan air pinggir dan luar bandar.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Paip kerana menaiktaraf LRA di Benta serta beberapa kawasan di Lipis antara penyelesaian terbaik masalah bekalan air secara berfokus,” katanya ketika menyertai sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tionghoa di pekan Benta di sini.

Menurut Abdul Rahman, usaha menaiktaraf LRA yang mampu memproses air bersih melebihi 3,000 meter padu sedang dijalankan secara berperingkat di Lipis dan keseluruhan siap sepenuhnya pada 2026.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia mengajak kaum Tionghoa memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 bagi mengukuhkan nilai keakraban, persaudaraan dan kemakmuran semua masyarakat.

“Perspektif ini dilihat untuk meraikan kepelbagaian budaya Tionghoa yang turut disemarakkan bersama oleh kaum lain selari nilai Malaysia Madani yang aman makmur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN