Loji minyak Arab Saudi terbakar akibat serangan Houthi - Utusan Malaysia

Loji minyak Arab Saudi terbakar akibat serangan Houthi

API menjulang selepas Houthi menyerang loji minyak Aramco. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Houthi Yemen mendakwa melancarkan serangan terhadap sebuah kemudahan syarikat minyak Aramco di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, pada Sabtu, menurut media kumpulan berkenaan.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, kemudahan itu menjadi sasaran peluru berpandu balistik dan dron. 

Pada awal hari itu, seorang wartawan AFP melaporkan asap dan api kelihatan menjulang dari sebuah kemudahan milik syarikat minyak gergasi berkenaan di selatan Riyadh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anggota bomba dilihat cuba memadamkan api marak yang besar di kilang penapisan milik syarikat gergasi tenaga itu manakala ambulans dan kenderaan polis ditempatkan berhampiran lokasi.

Kumpulan Houthi baru-baru ini melancarkan beberapa serangan terhadap kemudahan minyak di Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap sokongan Riyadh kepada kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dalam perang saudara di negara itu.

Pakar-pakar berkata, insiden terbaru itu boleh menyebabkan harga tenaga global melonjak sekali lagi.

Harga petrol dan diesel sudah meningkat dengan pantas.

Dalam pada itu, harga gas asli yang digunakan untuk memanaskan rumah dan menjana tenaga elektrik  naik hampir berganda di Britain serta Eropah sejak Julai.

Permusuhan antara kumpulan Houthi dan kerajaan Yemen tercetus semula selepas gencatan senjata rapuh selama empat tahun apabila Iran menghantar sebuah pesawat ke Sanaa yang membawa delegasi Houthi.

Penerbangan itu tidak mendapatkan kebenaran Arab Saudi, sekali gus melanggar amalan yang telah dilaksanakan sejak sedekad lalu.

Riyadh bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa, manakala Houthi membalas dengan menyerang wilayah Arab Saudi buat kali pertama sejak 2022.

Sejak itu, pertempuran semakin sengit apabila Houthi melancarkan serangan pantas yang menyaksikan mereka menguasai kawasan pantai di sepanjang Selat Bab al-Mandab. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN