Mengenang jasa besar Abdul Taib Mahmud membangun Sarawak

Mengenang jasa besar Abdul Taib Mahmud membangun Sarawak

JENAZAH Abdul Taib Mahmud diusung keluar untuk diterbangkan ke Kuching, Sarawak selepas selesai disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Negara, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi semalam adalah sosok penting yang menerajui perubahan besar negeri itu sejak 1981 sehingga digelar Bapa Pemo­denan Sarawak.

Abdul Taib me­ninggal dunia pada pukul 4.40 pagi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Jenazah beliau yang kemudiannya diterbangkan ke Kuching dijadual dikebumikan di Demak Jaya, Kuching hari ini.

DISEMBAHYANGKAN

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Negara pada pukul 10.25 pagi.

Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta kira-kira 200 jemaah terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai.

Jenazah turut diiringi isteri Allahyarham, Toh Puan Raghad Kurdi Taib bersama anak-anaknya.

RAGHAD Kurdi Taib bersama ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Abdul Taib Mahmud di Masjid Negara, semalam.

Allahyarham berketurunan Melanau dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936 adalah anak saudara Ketua Menteri Sarawak ketiga yang juga Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat, Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub.

Permulaan khidmat Allahyarham Abdul Taib selama 61 tahun dalam pentadbiran kerajaan serta gelanggang politik apabila beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak dalam Kabinet Sarawak pertama yang diterajui Ketua Menteri ketika itu, Stephen Kalong Ningkan pada 1963.

TERMUDA

Pada usia 27 tahun, Allahyarham antara yang termuda dalam barisan Kabinet Sarawak dengan menunjukkan kematangannya dalam menghadapi cabaran demi negeri kelahirannya.

Kematangannya itu digunakan untuk Sarawak yang pada awal penubuhannya berdepan ancaman komunis serta konfrontasi dari negara jiran, Indonesia.

Setelah berkhidmat selama tujuh tahun dalam kerajaan negeri, beliau kemudiannya me­lebarkan khidmatnya di peringkat persekutuan selepas memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1970.

Sebelum itu, beliau juga dilantik Penolong Menteri Persekutuan bagi portfolio Perdagangan dan Industri pada 1968 sehingga 1970.

Di peringkat Persekutuan, beliau memegang jawatan utama antaranya Menteri Perusahaan Utama pada 1972, Menteri Pe­rancangan Am dan Penyelidikan Sosio Ekonomi (1974), Menteri Pertahanan (1978) dan Menteri Wilayah Persekutuan (1980).

Selepas menabur bakti di pe­ringkat Persekutuan, Allahyarham kembali ke Sarawak apabila beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebandi.

Allahyarham yang memenangi PRK tersebut tanpa bertan­ding pada 9 Mac 1981 dilantik menjadi Menteri Tanah dan Galian Sarawak sebelum menggantikan Abdul Rahman Ya’kub sebagai Ketua Menteri keempat pada 26 Mac 1981.

AGENDA

Melalui pelantikan itu, bermulalah perjalanan beliau selaku Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dengan memperkenalkan agenda pembangunan untuk membawa kemajuan negeri itu.

Antara usaha yang dilaksanakan Allahyarham untuk meran­cakkan lagi aktiviti ekonomi di Sarawak ialah menubuhkan zon perindustrian di Samajaya, Demak Laut, Samalaju dan Tanjung Manis bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beliau juga dengan kebijaksanaannya mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai pemangkin pembangunan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro di negeri itu.

Selain itu, pentadbiran Allahyarham turut menyaksikan penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti di Mukah, Betong dan Samarahan, selain pembinaan Dewan Suarah di semua bandar utama di Sarawak untuk keperluan sosial masyarakat.

Pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan Allahyarham dalam memastikan anak Sarawak mendapat pendidikan berkualiti serta berkemahiran tinggi.

Atas dasar itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne kampus Sarawak, Universiti Curtin ditubuhkan masing-masing pada 2013, 2000 dan 1999 serta Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ditubuhkan pada 1992.

Beliau secara rasmi dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.

Beliau berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sebelum digantikan oleh Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas 10 tahun memegang jawatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN