Mana lagi penduduk Gaza mahu pergi?

Mana lagi penduduk Gaza mahu pergi?

SEORANG kanak-kanak Palestin berdiri di celah-celah runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel ke atas Rafah, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rafah yang di­sifatkan sebagai ‘kubu terakhir’ untuk penduduk Semenanjung Gaza mendapatkan perlindungan kini turut menjadi sasaran serangan tentera rejim Zionis.

Situasi itu menjadikan rakyat Palestin di Gaza tidak lagi mempunyai tempat selamat untuk berlindung dan hanya mampu menyerahkan nasib mereka kepada Ilahi.

Ketika ini, tentera Israel sudah mula menghalau keluar penduduk dan memulakan serangan udara di Rafah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron berkata, rakyat Palestin sudah tiada tempat untuk berlindung dan tiada hala tuju bagi menyelamatkan diri.

“Rafah merupakan tempat perlindungan terakhir rakyat Pa­lestin, jadi selepas ini bagaimana. IDF sudah menyerang Rafah. Tiada sudah tempat yang selamat untuk rakyat Palestin.

“Mereka sangat takut dan cemas. Pesawat melancarkan serangan udara dan setiap kali mendengar bunyi letupan mereka takut akan kehilangan seseorang. Saya amat berharap perang ini berakhir segera.

“Ketika tentera rejim Zionis terus melancarkan serangan, penduduk Gaza sentiasa menangis ketakutan dan mereka tidak tahu ke mana lagi mahu pergi dan siapa yang boleh bantu mereka,” katanya.

Rafah merupakan bandar paling selatan di Gaza yang bersempadan dengan Mesir.

Terdahulu, lebih separuh da­ripada 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam keadaan bersesak di Rafah yang terletak di selatan Gaza selepas tentera Israel menyerang wilayah itu pada 7 Oktober tahun lalu.

Tambahnya, peperangan di Palestin akan menjadi lebih teruk berikutan Israel yang berterusan menolak gencatan senjata.

“Sampai sekarang, Zionis enggan melaksanakan gencatan senjata dan terus melancarkan serangan, Situasi sudah tidak boleh digambarkan dengan kata-kata kerana amat teruk.

“Bantuan yang diterima juga amat terhad memandangkan situasi yang tidak selamat, malah ada langsung yang tidak tiba di Gaza dan Khan Yunis,” ujarnya.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 63 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara dan laut Israel di Rafah semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×