SEREMBAN: Kumpulan Matrix Concepts meraikan sambutan Chap Goh Mei bersama 62 orang kanak-kanak istimewa dan orang kurang upaya dalam satu majlis di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan di sini.
Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, program berkenaa adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.
Menurut beliau, kehadiran insan ‘istimewa’ bersama ahli keluarga mereka yang lain membuktikan penyatuan rakyat dalam negara ini yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan etnik.
“Kami menyambut bersama-sama semua kaum dalam semua aktiviti yang diadakan untuk mendidik mengenai warisan masyarakat Cina selain mengeratkan ikatan rakyat sebagai satu komuniti.
“Bukan semua negara mempunyai keunikan seperti Malaysia dan kita perlu menghargai dan mengekalkan warisan ini termasuk kepada insan-insan istimewa ini,” katanya.
Jelas beliau, selain kakitangan Kumpulan Matrix Concepts, program disertai peserta dari tiga rumah kebajikan iaitu Persatuan Perkembangan Insan Istimewa Seremban, Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah dan Yayasan Beautiful Gate.-UTUSAN.










