Kongres Koperasi Kebangsaan Jun depan medan angkat suara koperasi lebih berdaya saing - Utusan Malaysia

Kongres Koperasi Kebangsaan Jun depan medan angkat suara koperasi lebih berdaya saing

ABDUL FATTAH Abdullah (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Koperasi Pahang Tengah di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kongres Koperasi Kebangsaan pada 23 Jun depan sempena lebih 100 tahun koperasi wujud di negara ini bagi mengangkat suara gerakan koperasi lebih berdaya saing dan mapan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, gerakan koperasi perlu dijenamakan sebagai sebuah ejen berintegriti yang dapat mengangkat ekonomi rakyat di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, sudah 55 tahun isu gerakan koperasi tidak dibincangkan secara inklusif dan kolektif sejak Kongres Kedua yang diadakan pada 1969.

“Konvensyen Koperasi Peringkat Negeri yang akan dilaksanakan di setiap lokasi Mesyuarat Agung Negeri 2024 (MAN 2024) akan memberikan peluang kepada perwakilan untuk menyuarakan idea bernas demi masa depan sektor ini.

“Pandangan mereka diperlukan khususnya dalam mengenal pasti isu dan cabaran yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan gerakan koperasi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MAN 2024) Pahang 11 (Tengah) di Dewan Tun Razak di sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, Angkasa sudah mengenal pasti 16 projek berimpak tinggi yang boleh diceburi oleh koperasi sebagai inisiatif untuk meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau juga berkata, setiap Angkasa negeri sudah diberikan tanggungjawab lebih besar supaya boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih banyak koperasi melalui pelbagai program yang boleh membawa kepada perubahan progresif.

Tambah beliau, persekitaran politik, ekonomi dan sosial telah berubah dengan dinamik dan ia juga perlu perubahan kepada lanskap gerakan koperasi di Malaysia.

“Peluncuran Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 memerlukan satu arah tuju yang baharu kepada gerakan koperasi.

“Lanskap koperasi global yang mana model koperasi adalah berasaskan prinsip yang melangkaui keuntungan yang mana koperasi boleh memberi impak secara signifikan kepada ekonomi negara,” katanya.

Tegas beliau, Angkasa akan terus proaktif menyatukan dan mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN