Peruntukkan koperasi kariah masjid di Pahang bakal ditambah - Utusan Malaysia

Peruntukkan koperasi kariah masjid di Pahang bakal ditambah

WAN ROSDY Wan Ismail (empat dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) yang dinobatkan sebagai koperasi terbaik negeri Pahang pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN : Kerajaan negeri memberi bayangan akan menambah peruntukkan kepada koperasi kariah masjid seluruh negeri ini, tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tahun ini kerajaan negeri meluluskan RM600,000 bagi memperkasakan ekonomi ummah menerusi koperasi kariah masjid yang diuruskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang.

“Kerajaan negeri ada menerima permohonan untuk penambahan peruntukkan untuk koperasi berkenaan namun perkara ini akan dibincangkan antara ANGKASA (Angkatan Koperasi  Kebangsaan Malaysia Berhad) dan pengerusi jawatankuasa berkenaan.

“Keputusannya nanti bergantung kepada hasil perbincangan berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang (MAGKP) 2026 di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, gerakan koperasi di Pahang mencatat perolehan RM1.13 bilion tahun lalu, meningkat 15 peratus berbanding 2024, manakala jumlah aset keseluruhan kini melebihi RM1.73 bilion.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan gerakan koperasi semakin berkembang sebagai salah satu kekuatan ekonomi negeri.

“Gerakan koperasi telah berkembang menjadi satu kekuatan ekonomi yang penting. Ada yang terlibat dalam perladangan, pertanian, perkhidmatan, peruncitan dan pelbagai lagi aktiviti ekonomi yang memberikan nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.

“Pahang kini mempunyai 1,211 koperasi berdaftar dengan 314,537 anggota. Sebanyak 502 koperasi pula mengagihkan dividen berjumlah RM41 juta kepada anggota masing-masing tahun lalu. Sebanyak RM1.39 juta honorarium turut diberikan kepada barisan kepimpinan koperasi sebagai penghargaan atas usaha mengurus dan mengembangkan gerakan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×