PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan amalan tata kelola yang baik merupakan faktor utama dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan gerakan koperasi di negara ini.
Beliau berkata, koperasi mempunyai potensi besar untuk berkembang dan memberi manfaat kepada anggota serta masyarakat, namun ia perlu diurus secara telus, berintegriti dan bebas daripada unsur rasuah serta penyelewengan kuasa.
Menurutnya, usaha kerajaan membanteras rasuah dan memperkukuh tata kelola bukan perkara remeh kerana kegagalan menangani isu berkenaan akan menyebabkan hasil yang diperoleh tidak dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
“Kalau koperasi diurus dengan baik, prestasinya akan baik. Sebab itu soal rasuah dan penyelewengan kuasa bagi kerajaan ini penting walaupun ramai yang memandang ringan atau enteng.
“Bagi saya, perkara ini sangat penting dan kadang-kadang kita berdepan pertelingkahan dalam dan luar kerajaan mengenai isu ini.
“Kalau kita tidak betulkan keadaan itu, wang yang diperoleh walau sebanyak mana sekalipun tidak akan memberi manfaat kepada ramai, sebaliknya hanya menguntungkan kelompok kecil yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di sini hari ini.
Anwar berkata, prinsip tata kelola yang baik perlu menjadi pegangan semua pihak termasuk koperasi bagi memastikan keuntungan dan kekayaan yang dijana dapat diagihkan secara adil kepada anggota serta masyarakat.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan nilai keadilan dan ihsan yang menjadi asas dalam pentadbiran kerajaan ketika ini. – UTUSAN










