KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, Low Taek Jho atau Jho Low kerap melakukan tindakan yang membolehkannya dilihat sebagai proksi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saksi pendakwaan ke-50 tersebut berkata, ahli perniagaan dalam buruan itu selalu menggunakan pengaruhnya sebagai individu yang rapat dengan Najib yang merupakan Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat pelaburan itu.
Menurutnya, kebanyakan perkara beşar yang memerlukan kelulusan Najib perlu dibincangkan dahulu dengan Jho Low sebelum dibawa kepada Perdana Menteri.
“Ada kalanya Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Najib dan saya akan menyediakannya. Saya akan memaklumkan terlebih dahulu kepada Datuk Shahrol permintaan Jho Low.
“Setelah saya serahkan dokumen-dokumen tersebut, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tanda tangan Najib,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi.
Kata Jasmine, sepanjang berkhidmat di 1MDB, beliau hanya bertemu Najib dalam apa-apa acara atau mesyuarat berkaitan 1MDB secara beramai-ramai bersama pengurusan syarikat, namun tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau secara terus dengannya.
Jasmine, 50, memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib, 71, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Dalam pernyataan itu, saksi turut menceritakan, beliau pernah bekerja di UBG Berhad yang mana Jho Low adalah pengarahnya dengan gaji hampir RM45,000 sebulan termasuk elaun lain seperti elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan bermula 1 Januari 2009 sehingga April 2011.
Ujarnya, kali pertama beliau bertemu Jho Low adalah ketika menghadiri satu temu duga dengan syarikat itu.
“Pada Oktober 2008, saya dapat tahu ada peluang pekerjaan di UBG Berhad iaitu syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Tawaran pekerjaan itu adalah untuk menjaga hal ehwal undang-undang syarikat di bawah Kumpulan UBG Berhad.
“Selepas itu, saya telah menghadiri satu temu duga dengan pihak UBG Berhad di mana saya telah berjumpa untuk pertama kalinya dengan Jho Low selaku Pengarah UBG Berhad.
“Saya berjaya dalam temu duga tersebut dan menerima satu tawaran daripada UBG Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Undang-undang,” jelasnya dalam pernyataan saksinya setebal 63 muka surat.
Menceritakan penglibatannya dalam syarikat 1MDB, Jasmine berkata, pada awal 2011, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Halmi menghubunginya untuk menawarkan peluang menyertai 1MDB sebagai peguam tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan pada waktu itu kerana tidak bersedia.
“Selepas itu, Shahrol Azral sering menghubungi saya, dan Jho Low juga memberitahu saya bahawa sekiranya saya menyertai 1MDB, dia (Jho Low) tidak mempunyai sebarang halangan tetapi Jho Low tidak memaksa saya untuk menyertai 1MDB,” katanya sambil menambah beliau mula bekerja di 1MDB bermula Mei 2011 sehingga November 2013.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – UTUSAN










