PETALING JAYA: Banyak usaha sudah dilaksanakan pihak-pihak yang berkaitan untuk menangani isu buli, khususnya yang kerap berulang dalam kalangan remaja di sekolah.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam berkata, pihak berkaitan perlu menggubal satu peruntukan undang-undang khususnya kepada remaja.
Menurut beliau, ia bukan sahaja membantu dalam menetapkan satu bentuk hukuman yang setimpal, bahkan juga membolehkan satu dasar antibuli dilaksanakan dengan jelas.
“Kita boleh mengambil contoh negara jiran seperti Filipina yang juga telah melaksanakan Akta Antibuli 2013 dalam sistem perundangan mereka.
“Untuk membanteras gejala buli, perubahan pada masyarakat adalah penting untuk pemahaman dan kesedaran terhadap apa itu buli, siapa yang berisiko berhadapan buli.” katanya.
PAHIT
Selain mengekang gejala buli, Naqiuddin berkata, tidak semestinya pengalaman pahit masa lampau menyebabkan individu membuli orang lain.
Menurutnya, ada individu tidak pernah dibuli tetapi pada akhirnya menjadi pembuli akibat defisit mereka dalam emosi empati.
“Empati memainkan peranan penting dalam memahami emosi orang lain seperti saat seseorang sedang merasa sedih, kita boleh meredakan perasaan sedih itu.
“Namun, bagi pembuli yang mempunyai tahap empati yang rendah, mereka gagal merasai kesengsaraan yang dialami oleh mangsa buli sehingga menyebabkan mereka tidak serik membuli orang lain dan tidak takut dengan akibatnya,” katanya.
Senada, Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil, pensyarah kanan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pembuli datang dari pelbagai latar belakang keluarga, termasuk keluarga berada dan berpendidikan serta keluarga bermasalah yang kurang memberi kasih sayang.
Menurutnya, faktor utama individu menjadi pembuli itu sebenarnya mendapat pengiktirafan daripada rakan sebaya.
“Pembuli akan merasakan diri mereka hebat dan berkuasa, sekali gus memberi rasa takut kepada mangsa buli.
“Akibat merasakan diri mereka berkuasa dan ditakuti menyebabkan mereka berani membuli serta memeras ugut pelajar yang lain,” katanya. – UTUSAN










