KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menjelaskan status Anugerah Akhir (Final Award) bertarikh 28 Februari 2022 berhubung tuntutan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang didaftar di mahkamah timbang tara di Perancis.
Pengamal undang-undang percaya, kejelasan status anugerah itu jika sudah dibatalkan mengakibatkan kumpulan Sulu tidak lagi mempunyai asas tuntutan di mana-mana negara untuk terus menuntut Malaysia membayar AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan berkenaan.
Perkara ini penting selepas peguam kepada kumpulan Sulu dilaporkan enggan berganjak dan mahu meneruskan tuntutan walaupun penimbang tara Gonzalo Stampa dihukum penjara enam bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sepanyol kerana melakukan penghinaan mahkamah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, status anugerah tersebut adalah ‘kunci’ untuk menghalang mereka daripada meneruskan tuntutan pada masa akan datang.
“Seringkali kerajaan kata mereka sedang buat proses membatalkannya sejak tahun-tahun sudah, tetapi, sampai sekarang ia belum dimaklumkan. Persoalannya, apakah tarikh pendengaran permohonan atau rayuan untuk kes di Perancis?
“Kalau benar sudah batal, maka Sulu tiada asas langsung membawa tuntutan mereka di mana-mana negara pun. Kerajaan mesti maklumkan, mesti ada tarikh khusus.
“Selagi anugerah ini belum dimuktamad, maka, dari segi rekod ia masih wujud walaupun dikatakan tidak lagi sah,” katanya ketika dihubungi semalam.
DIJATUHKAN
Selain membantah hukuman yang dijatuhkan ke atas Stampa, kumpulan Sulu mahu mengambil semua langkah sewajarnya bagi meneruskan tuntutan ke atas Malaysia.
Peguam Sulu juga mendakwa, keputusan ke atas Stampa berlaku dengan campur tangan politik Sepanyol yang mahu memenangi kontrak Malaysia untuk pemasangan pesawat ketenteraan oleh Airbus.
Sebelum ini, mahkamah Sepanyol, Perancis dan Belanda mengesahkan kedudukan Malaysia berhubung kes Sulu dan mengenai Anugerah Akhir yang kononnya dikeluarkan Stampa pada 28 Februari 2022 yang menuntut Malaysia membayar AS$14.9 bilion kepada pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada tahun lalu dilaporkan berkata, kerajaan menerima pengesahan rasmi bahawa rayuan perlembagaan difailkan penuntut itu ditolak dan pembatalan pelantikan Stampa (yang sudah muktamad dan mengikat) turut disahkan mahkamah di Sepanyol.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia belum boleh bergembira dengan keputusan mahkamah di Sepanyol yang menolak rayuan perlembagaan luar biasa kumpulan Sulu.
Ini kerana, kerana masih mempunyai kes di Perancis dan mereka tidak menerima keputusan dibuat di mahkamah timbang tara di Sepanyol.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, tiada ruang untuk kumpulan berkenaan meneruskan tindakan undang-undang atau pendekatan lain selepas Stampa dipenjara.
“Kumpulan ini berdepan dengan negara berdaulat, jadi, ruang yang mereka ada mungkin menerusi timbang tara ini sahaja, malah Filipina pun tidak bersekutu dengan kumpulan ini.
“Saya yakin Jabatan Peguam Negara dan Wisma Putra bertungkus lumus bagi memastikan tuntutan waris Kiram ini tidak boleh direalisasi,” katanya. – UTUSAN










