Suspek pecah masuk rumah, samun kenderaan ditangkap empat jam selepas jenayah - Utusan Malaysia

Suspek pecah masuk rumah, samun kenderaan ditangkap empat jam selepas jenayah

KENDERAAN dilarikan suspek yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian pecah masuk rumah dan melarikan kenderaan di daerah Seremban malam tadi.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki ditangkap dalam tempoh kira-kira empat jam selepas disyaki terbabit dalam dua kejadian pecah masuk rumah dan melarikan kenderaan di daerah ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 9 malam semalam, pihaknya menerima maklumat daripada seorang mangsa iaitu lelaki berusia 53 tahun yang memaklumkan rumahnya di Taman Yoon Chan dipecah masuk dan dia turut dipukul suspek.

Menurutnya, suspek kemudiannya telah melarikan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa.

“Kira-kira pukul 12.12 tengah malam tadi, polis menerima satu lagi laporan iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun mengatakan telah disamun di Taman Layang-Layang.

“Kejadian ini juga dipercayai dilakukan suspek yang sama dan mangsa juga telah dicederakan selain kereta mangsa jenis Nissan Sentra juga telah dilarikan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Arifai lagi, hasil siasatan mendapati suspek telah memasuki kedua-dua rumah yang tidak berkunci dan mengambil kunci kereta serta membawa lari kedua-dua kereta tersebut. 

“Hasil operasi yang dijalankan kira-kira pukul 1 pagi telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 32 tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, kedua-dua kenderaan juga ditemui semula namun dalam keadaan mengalami kerosakan.

“Suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurut beliau lagi, dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun di sekitar bandar ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya