PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bukan sahaja sentiasa peka dan prihatin mengenai situasi politik negeri, malah membabitkan peringkat nasional apabila tegas memberikan teguran terhadap gelagat ahli-ahli politik.
Ketegasan Sultan Ibrahim itu boleh dilihat menerusi teguran baginda sama ada titah ucapan atau kenyataan media yang dikeluarkan oleh Royal Press Office terhadap perkembangan politik semasa.
Terbaharu, Sultan Johor menegaskan keutamaan Baginda bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, tetapi 33 juta rakyat Malaysia, dan perkara itu akan menjadi kepentingan Baginda.
“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.
“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Baginda Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Johor Ke-65 di Istana Besar Johor Bahru pada November tahun lalu.
Malah Baginda pernah menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.
Titah menerusi Facebok Sultan Ibrahim itu susulan desas-desus usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan apabila seorang pemimpin pembangkang memuatnaik hantaran Facebook dengan angka ‘126’ sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.
Titah Sultan Ibrahim, rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan dengan menasihatkan beberapa untuk berhenti telagah.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara. Namun sehingga kini, 222 Ahli
Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara. Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina,” titah Sultan Ibrahim.
Selain itu, Baginda pernah mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor tidak menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai medan perbalahan politik dan merebut kuasa.
Baginda mengingatkan agar kesemua 57 (ADUN) perlumenggunakan sesi persidangan bermula hari ini untuk berbincang bagi merancang pelan tindakan membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Awak (ADUN) semua mesti pentingkan rakyat di luar yang sedang susah, ada kelaparan, hilang pekerjaan dan ada yang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19 ketika ini.
“Ingin saya ingatkan Dewan Negeri ini tempat untuk berbincang dan buat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Johor bertitah Kerajaan Persekutuan perlu memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan keputusan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah Allah, titah Sultan Ibrahim Iskandar.
Baginda bertitah, langkah terbabit perlu berikutan ia berkait rapat dengan isu yang berada sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.
Titah baginda, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan mengenai kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri, supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk terus terpelihara.
“Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895. Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.
“Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam seni kata Lagu Bangsa Johor,” titah baginda
Sebelum ini, pelbagai pihak dilaporkan terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.










