Projek rumah terbengkalai sejak 2015 jadi reban ayam, itik haram

Projek rumah terbengkalai sejak 2015 jadi reban ayam, itik haram

STRUKTUR bangunan terbengkalai yang dipercayai dijadikan reban ayam dan itik serta kolam takungan dibina individu tidak bertanggungjawab secara haram sejak dua tahun lalu di Taman Bukit Permai, di sini, semalam. UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebuah projek perumahan yang terbengkalai sejak 2015 di Taman Bukit Ampang, di sini kini menjadi tempat pihak tertentu menjalankan projek ternakan ayam dan itik secara haram.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan berkenan juga dipagar dengan zink di sekelilingnya, malah beberapa lubang kecil ditutup menggunakan kanvas dan papan supaya projek haram itu tidak diketahui orang luar.

Kawasan dalam zink berkenaan juga dilihat penuh dengan semak samun dan pokok yang tinggi seolah-olah tiada sebarang projek dijalankan.

Malah pihak yang menjalankan aktiviti haram itu dipercayai sengaja berbuat demikian untuk memperlihatkan kawasan tersebut seperti terbiar supaya tidak ada pihak yang mengesyaki aktiviti haram mereka.

Menurut sumber, projek tersebut telah berjalan lebih dua tahun dan terdapat beberapa ‘kaki’ yang dipasang bagi memantau keadaan sekeliling supaya projek secara haram ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Kalau kita lihat dari luar, kita tidak akan nampak apa pun aktiviti yang dijalankan sebab pokok yang tinggi dan semak samun itu menghalang penglihatan orang ramai yang lalu-lalang untuk melihat apa yang ada di dalam kawasan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan projek ternakan tersebut semua berjalan dengan baik sampai hari ini kerana tiada gangguan daripada pihak berkenaan.

“Sama ada dapat kebenaran dengan pihak pemaju atau tidak, itu saya tidak pasti.

“Yang saya boleh kata, ada orang yang masuk setiap hari di dalam kawasan zink itu, berkemungkinan untuk memberi makan kepada ayam dan itik tersebut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pangsapuri

Menurut papan tanda projek yang dipaparkan, kawasan berkenaan adalah bagi membangunkan 46 unit kedai pejabat dan blok pangsapuri perkhidmatan setinggi 44 tingkat dengan membabitkan 256 rumah yang ingin dibina.

Malah beberapa kemudahan awam turut dicadang untuk dibangunkan seperti kolam renang, dewan serbaguna, tadika, pejabat pengurusan, gimnasium, surau dan kemudahan-kemudahan lain.

Dalam papan tanda projek itu juga turut dijelaskan yang tarikh mula kerja adalah pada 18 September 2015 dan tarikh siap kerja pada 18 Disember 2018.

Permit tapak projek itu telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Berdasarkan tinjauan akhbar ini juga, terdapat beberapa reban yang dibina untuk ternakan ayam dan itik, serta turut kelihatan kolam takungan air yang dipercayai untuk membersihkan najis dan bekalan minuman untuk ternakan mereka.

Selain itu juga, terdapat pondok yang dibina dengan meletakkan kerusi di sebelah pondok berkenaan bagi mengawal keadaan di dalam zink tersebut.

Malah, beberapa laluan turut dibina menggunakan paip PVC dan jaring berhampiran dengan reban, namun tidak diketahui untuk apa tujuan laluan itu dibuat.

Dilindungi

Ketika ditanya adakah orang sekeliling di kawasan berkenaan tahu akan kewujudan projek tersebut, sumber memaklumkan mereka tahu, namun berdiam diri berikutan ada ‘pihak tertentu’ yang melindungi projek haram tersebut.

“Mereka tidak mahu buka mulut tentang projek ini, sehinggakan ada yang kata, kalau ‘cable’ tidak kuat, jangan cari pasal,” jelas sumber.

Ketika meninjau keadaan pada waktu malam, turut kelihatan kawasan di dalam zink berkenaan mempunyai lampu yang dipasang di kawasan reban.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lampu yang dipasang itu menggunakan bekalan elektrik yang dicuri ataupun menggunakan penjana kuasa.

Projek haram ternakan tersebut berada di tengah-tengah antara pangsapuri Intan dan lot-lot kedai termasuk tempat mencuci kereta yang dikatakan paling hampir dengan projek haram tersebut.

MPAJ ketika dihubungi turut berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu dan turun ke lokasi berkenaan secepat mungkin. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN