Perang Palestin-Israel ‘talian hayat’ politik Netanyahu

Perang Palestin-Israel ‘talian hayat’ politik Netanyahu

ASAP tebal menyelubungi bandar Khan Younis susulan serangan tentera rejim Zionis ke atas bandar di selatan Palestin itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang Palestin-Israel dilihat sukar dihentikan memandangkan ‘hayat’ politik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu amat bergantung kepada keputusan signifikan hasil peperangan yang dilancarkan rejim Zionis itu sendiri.

Bagaimanapun, setelah memasuki hari ke-102 peperangan dengan angka kematian rakyat Palestin menghampiri 24,000, Israel disifatkan gagal mencapai sebarang kejayaan signifikan dalam operasi ketenteraannya di Gaza.

Antara lain, ia disebabkan tiada seorang pun tebusan yang diculik oleh Hamas berjaya diperoleh tentera penjajah bahkan alasan mereka melancarkan serangan untuk menghapuskan pergerakan tersebut juga sehingga kini masih buntu.

LEMAH

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Strategi Antarabangsa (IRIS Institute), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, secara politiknya, Netanyahu sememangnya berada dalam posisi amat lemah disebabkan serangan 7 Oktober yang menafikan kemampuannya menjanjikan keselamatan kepada rakyat Israel.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila rejim Zionis itu sehingga kini masih gagal mencapai sebarang kejayaan strategik sepanjang 100 hari kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Gaza.

“Netanyahu sudah tiada sebarang modal politik untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri di negara haram tersebut.

“Jadi boleh difahami daripada aspek politik dalaman Israel, selagi belum ada kejayaan strategik yang dicapai, Netanyahu akan teruskan peperangan walaupun berdepan dengan desakan daripada rakyatnya sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terbaharu, kira-kira 120,000 rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv mendesak Netanyahu berundur dan menuntut tebusan yang ketika ini masih dalam kawalan mujaddin di Gaza untuk dibebaskan.

BERUBAH

Bagaimanapun, ­mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ ber­kata, senario peperangan di Gaza sudah pun berubah apabila faktor menentukan kelangsungan dan penghujung perang tidak lagi ditentukan mengikut kehendak Netanyahu dan rejim Zionis semata-mata.

Menurutnya, operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan mujahiddin pada 7 Oktober lalu telah menterbalikkan keadaan de­ngan perjalanan perang dan ke­sudahannya lebih banyak ditentukan oleh Hamas dan pejuang Palestin.

“Maksudnya, daripada awal lagi peperangan ini telah dico­rakkan oleh kehendak dan percaturan pejuang Palestin. Netanyahu terpaksa berada di posisi reaktif dan mengurus krisis sahaja.

“Adakah Netanyahu boleh menentukan bagaimana perang ini akan berakhir? Agak mustahil. Jika dia ingin memperlihatkan seolah-olah menjadi hero dengan berjaya menghentikan perang dan menawan Gaza, pejuang Palestin akan pastikan angan-angan tersebut gagal.

“Jadi, dalam apa jua ke­­a­da­an, Netanyahu sebenarnya sudah amat terdesak,” katanya sambil menambah, kenyataan Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah bahawa mereka bersiap sedia berperang untuk enam bulan mendatang amat merunsingkan rejim Zionis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN