PETALING JAYA: Pengkelasan terbaharu yang bakal dicadangkan oleh kerajaan untuk menggantikan sistem B40, M40 dan T20 perlu mengambil kira pendapatan isi rumah secara menyeluruh demi keadilan kepada semua.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Abu Sofian Yaacob berkata, pengkelasan yang dicadangkan mungkin mengkaji pendapatan isi rumah dari semua sumber tanggungan dan perbelanjaan mereka.
“Ini akan memberikan gambaran pendapatan yang boleh dibelanjakan atau bersih. Sebagai contoh, pendapatan boleh dibelanjakan RM4,000 sebulan dan perbelanjaan isi rumah RM3,000 jadi pendapatan bersih adalah RM1,000 sahaja, dari sini kita akan nilai bagaimana.
“Kalau saya, inilah kaedah saya akan gunakan untuk menentukan jenis bantuan yang perlu disalurkan kepada mereka,” katanya, semalam.
Terdahulu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengkelasan B40, M40 dan T20 yang dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah akan dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.
Beliau berkata, beberapa inisiatif atau dasar yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah berbeza berbanding pendekatan oleh pentadbiran sebelum ini termasuk membabitkan bantuan dan subsidi.
“Kerajaan juga perlu memastikan semua infrastruktur sedia ada perlu melakukan ujian perintis sebelum mengambil keputusan berapa tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan,” katanya.
Abu Sofian menambah, pendapatan besar tidak melambangkan pendapatan bersih yang sudah semestinya banyak tambahan terutama bagi yang menetap di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dengan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU), pemberian subsidi dan bantuan tunai dapat diagihkan dengan adil.
“Kerajaan memang perlu merangka pengkelasan baharu tetapi dengan wujudnya sistem PADU akan lebih memudahkan lagi proses pemberian subsidi,” katanya.
Tambahnya, PADU akan lebih tepat kerana tidak hanya melihat kepada pendapatan tetapi pelbagai kriteria lain yang akan direkodkan dalam sistem berkenaan. – UTUSAN










