Pemilik syarikat barangan kitar semula direman, rasuah penguat kuasa - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat barangan kitar semula direman, rasuah penguat kuasa

DUA individu yang juga merupakan pemilik syarikat barangan kitar semula dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi mendapatkan perintah reman terhadap mereka kerana disyaki menawar dan memberikan wang rasuah kepada seorang penguat kuasa.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang pemilik syarikat barangan kitar semula direman tujuh hari kerana disyaki menawar dan memberikan wang rasuah berjumlah sekitar RM4,000.00 kepada seorang penguat kuasa di negeri ini.

Perintah reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan oleh Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahya di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi.

Suspek turut diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Redzuan Hakim Sulaiman.

Sementara itu menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia sekitar 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek melakukan kesalahan tersebut pada tahun lalu dengan memasukkan wang rasuah tersebut secara dalam talian dan mesin deposit tunai.

Wang berkenaan dimasukkan ke akaun seorang penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya