PETALING JAYA: Bahagian Pengawalan Padi dan Beras akan mengadakan mesyuarat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 19 Januari ini bagi menyiasat segera isu berkaitan dakwaan wujud kartel yang menekan nasib pesawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Mahmood berkata, sekiranya didapati ada pemegang lesen berkaitan padi dan beras gagal mematuhi syarat atau melanggar peraturan ditetapkan, mereka akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.
Katanya, bagi pemegang lesen padi benih pula, lesen mereka akan dibatalkan kalau melanggar syarat.
“Langkah ini bagi memastikan ketelusan serta mengesahkan semua aktiviti mereka tidak melanggar mana-mana syarat.
“Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah untuk pemegang lesen yang langgar kecuali pemegang lesen padi benih akan dibatalkan lesen kalau langgar syarat.
“Kita akan adakan mesyuarat bersama MyCC bagi menyiasat perkara ini secara keseluruhan,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan mengenai kewujudan kartel yang menekan nasib pesawah.
Gabungan Pengilang Beras Malaysia mendakwa ada kartel yang dimonopoli oleh empat hingga lima syarikat besar dalam menentukan harga padi, beras serta pembekal benih.
Kartel itu juga dikatakan memonopoli lebih 60 peratus pengeluaran beras negara.
Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang dikatakan bertindak menentukan harga padi di negara ini sambil memaklumkan sebanyak 39,000 lesen pelbagai jenis dikeluarkan dalam industri tersebut.
Dalam pada itu, Azman memberi jaminan bersedia untuk mengaudit semula 39,000 pemegang lesen bagi urus niaga padi dan beras negara seperti diperkatakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa bersedia untuk mengaudit sekiranya disyorkan oleh menteri. – UTUSAN










