KUANTAN: Semua pimpinan parti politik perlu melakukan ‘gencatan’ sehingga 2027 bagi mengelak konflik politik berterusan dan bersama-sama menumpukan usaha merealisasikan agenda pemulihan ekonomi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ini bukan masanya untuk pimpinan parti politik mengatur strategi bagi menukar kerajaan yang mempunyai sokongan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Beliau berkata, tahun baharu ini bukan lagi masa mengatur ‘langkah’ politik sebaliknya ‘berlari’ bersama-sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membangunkan negara.
KEUTAMAAN
“Pengembelengan usaha ke arah itu harus menjadi keutamaan setiap pimpinan parti politik ketika ini berbanding perkiraan untung rugi berpolitik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya memudaratkan rakyat dan negara dalam jangka panjang.
“Apa yang perlu menjadi kebimbangan kita, ramalan Bank Dunia bahawa prestasi ekonomi negara pada tahun ini jauh lebih rendah berbanding negara ASEAN lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.
“Jika unjuran Bank Dunia ini menjadi kenyataan, dibimbangi akan menyebabkan peningkatan pengangguran dan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya di sini, semalam.
Mohd. Sharkar berkata, inilah waktu terbaik bagi semua pihak termasuk pembangkang memastikan rakyat tidak dibebani kemelut sosiopolitik, sebaliknya pemimpin perlu mencari jalan menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat ekonomi yang perlahan.
“Penyatuan semua pihak dalam penyelesaian isu-isu domestik cukup bermakna dan begitu diperlukan untuk kita mengembalikan semula tahap ekonomi negara.
“Gencatan politik harus dilaksanakan segera. Semua parti politik harus menggalas tenaga bersedia bekerjasama untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik.
“Semua pimpinan politik perlu memberikan keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional serta membelakangkan kemelut-kemelut yang tidak memberi sumbangan kepada negara,” katanya.
“Kita perlu bersama-sama dalam tempoh tiga tahun ini membangunkan Malaysia sebagai negara yang diyakini oleh masyarakat dunia dan pelabur luar negara,” katanya.
Mohd. Sharkar berkata, tempoh masa tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang bukanlah satu tempoh yang panjang.
“Apabila sampai masanya nanti, berpolitiklah, ‘its free for all’. Waktu itu nanti, bentuklah gabungan dan pakatan politik masing-masing dan ‘berperanglah’ kerana memang masanya,” katanya. – UTUSAN










