Kolej Meatech jalin kerjasama WBL dengan YEG Academy, Awesome Nomad - Utusan Malaysia

Kolej Meatech jalin kerjasama WBL dengan YEG Academy, Awesome Nomad

CHE Rozaina Azizan (tiga dari kiri) bersama Azizulhakim (tiga dari kanan) dan Dr. Irwan (kiri) pada pelancaran program kerjasama Work-Based Learning (WBL) Aviation Career Malaysia dan YEG Pesta Sambung Belajar di Auditorium Kolej Meatech, Mantin, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kolej Meatech yang terletak di Mantin, di sini hari ini memeterai jalinan kerjasama dengan dua pihak industri iaitu membabitkan industri penerbangan dan pelancongan menerusi pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) bagi peringkat diploma.

Dua pihak industri yang terlibat adalah, YEG Academy Sdn. Bhd. dan Awesome Nomad Sdn. Bhd. 

Pengarah Sekolah Hospitaliti Penerbangan, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, konsep WBL merupakan suatu revolusi pendidikan tinggi yang mampu mengintegrasikan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri selain mewujudkan pengalaman bersepadu kepada pelajar iaitu teori dan praktikal. 

“Pihak industri malah berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi  selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan latihan masa hadapan. 

“Kami juga mengalu-alukan lebih banyak lagi industri bekerjasama dengan pihak akademik bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri,” katanya pada pelancaran program kerjasama Work-Based Learning (WBL) Aviation Career Malaysia dan YEG Pesta Sambung Belajar di Auditorium Kolej Meatech di sini

Menurutnya, kerjasama dengan pihak YEG Academy di bawah payung Aviation Career Malaysia, menawarkan dua program unik iaitu diploma berkaitan penerbangan selama dua setengah hingga tiga tahun dan program persediaan yang berfokus selama tiga bulan. 

“Antara bidang yang ditawarkan termasuklah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara dan Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang. Bagi program persediaan pula terdiri daripada kru kabin, khidmat pelanggan dan ejen ramp,” katanya.

Kata Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, program yang ditawarkan tersebut melihat kepada permintaan tinggi di pasaran dengan memberi penekanan kepada laluan kerjaya bagi para pelajar. 

“Ia juga bagi memastikan bahawa mereka tidak hanya menerima pendidikan berkualiti tetapi juga peluang untuk menyertai syarikat penerbangan yang terkenal di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, kerjasama dengan Awesome Nomad pula membabitkan program pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan melibatkan kolaborasi dalam WBL.

Perunding Utama Awesome Nomad Sdn. Bhd, Dr. Irwan Dahnil berkata, program ini menawarkan tempoh pengajian selama satu tahun setengah di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan. 

“Pelajar program jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan. 

“Menerusi syarikat, kami menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk kembara ke luar negara sebagai ketua kembara membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah.

“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya