Kerajaan Pahang belum putuskan lantikan JPKK, JKKR di Felda - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang belum putuskan lantikan JPKK, JKKR di Felda

WAN ROSDY Wan Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan Suratan Hak Milik kepada Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (tiga dari kanan) pada Majlis Penyampaian Kelulusan STR Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 serta Felcra Bukit Nikmat di pekarangan Masjid Jengka 24 di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan Pahang belum memutuskan sama ada mahu melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan Felda di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut sedang dalam peringkat kajian bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan hal berkenaan.

“Sekarang ia masih dalam perbincangan, belum muktamad dan belum dibawa kepada exco bagi mendapat keputusan terbaik demi kemakmuran di rancangan Felda.

“Kita mahukan pengurusan di rancangan Felda dapat dilaksanakan dengan baik dan kalau ada dua kepala sudah tentu payah untuk mengurus,” katanya kepada pemberita selepas majlis Majlis Penyampaian Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda dan Suratan Hak Milik Felda Jengka 24 Serta Felcra Bukit Nikmat di pekarangan Masjid Jengka 24 di sini hari ini.

Seramai 1,888 penerima STR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, 292 peneroka Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat 1 dan Nikmat 2.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan pentadbiran di Felda di Pahang lancar tanpa berlaku perselisihan yang merugikan kepentingan Masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka Felda di negeri ini sudah menerima Suratan Hak Milik masing-masing.

“Semua nikmat diterima oleh peneroka Felda bukan datang bergolek tetapi hasil perancangan kepimpinan kerajaan negeri yang menunai janji tanpa retorik,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat meliputi pelbagai bentuk pembangunan, inisiatif dan bantuan.

“Bagaimanapun, ada pihak dalam kalangan rakyat yang terpengaruh dengan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja direka oleh sesetengah pihak untuk memburukkan dan menjatuhkan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya