PETALING JAYA: Israel didakwa turut berdepan trauma yang sangat dahsyat selain kemusnahan yang mengejutkan akibat serangan pejuang Hamas walaupun situasi itu tidak dilaporkan oleh media antarabangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail berkata, perkara itu adalah berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya daripada sahabat di Gaza dan Baitulmaqdis.
“Sebenarnya kemusnahan yang berlaku dalam Israel itu sendiri sangat dahsyat, cuma punca berita daripada Tel Aviv disekat sebab dikuasai mereka, untuk melindungi apa yang berlaku di sana.
“Serangan ke atas Israel berterusan dan memang mereka sedang alami satu trauma amat dahsyat yang tidak pernah dialami serta kemusnahan yang sangat mengejutkan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Zionis pun tunggu masa untuk jatuh sebab menanggung kerugian yang amat dahsyat. Kereta kebal canggih ciptaan mereka yang kononnya tidak mungkin dimusnahkan sebegitu mudah, tetapi pejuang Hamas tembak menggunakan granat berpeluncur roket (RPG) dengan pejuang Hamas hanya memakai selipar sahaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mohd. Johari berkata, MCM sedang merancang untuk menghantar sendiri bantuan ke Gaza secepat mungkin berikutan keadaan di sana yang semakin buruk.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada apa-apa perkembangan lanjut daripada Kedutaan Mesir terhadap permohonan itu yang dikemukakan sebelum ini.
“Keadaan tidak mengizinkan dan Israel tidak benarkan sebarang bantuan masuk dari pintu Rafah. Pintu baharu dibuka tetapi perlu melalui tanah jajahan Israel.
“Jadi kita menanti lampu hijau dari Mesir. Cuma tetap bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebab untuk melepasi pintu masuk di Gaza mesti mendapat persetujuan daripada mereka.
“Jika tidak (tiada persetujuan), walaupun dapat melepasi sempadan Rafah, tetapi apabila masuk akan terdedah kepada serangan Zionis dan tiada jaminan,” katanya. – UTUSAN










