PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Sabah boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang namun buat masa ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memikirkan untuk memohon membubarkan DUN pada tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pihaknya ketika ini terlalu fokus mahu membangunkan Sabah berbanding memikir soal PRN.
“Secara teknikalnya, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa, kalau bukan tahun ini sudah pasti tahun hadapan. Tetapi buat masa sekarang ini kerajaan negeri fokus bekerja keras membangunkan Sabah. Kami sibuk berkhidmat kepada rakyat sampai tidak terfikir pasal pembubaran DUN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ada budi bicara untuk menasihati Tuan Yang Terutama (TYT) membubarkan DUN pada tarikh atau masa difikirkan sesuai.
Ditanya kerjasama politik antara Parti Warisan (Warisan) dan UMNO Sabah menjelang PRN nanti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu, GRS tidak gentar kerana yakin kedua-dua parti itu tidak akan berjaya menumbangkan kerajaan negeri.
POLITIK
“GRS menghormati sesiapa sahaja lawan politik kita tetapi GRS tidak gentar menghadapi mereka,” katanya yang juga Menteri Kewangan Sabah.
Utusan Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Hajiji berhubung PRN Sabah.
GRS ketika ini menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas kemelut politik dengan Barisan Nasional (BN)/UMNO sebelum ini. Hajiji pada Ogos tahun lalu dilaporkan berkata, jalinan kerjasama GRS-PH dalam PRN akan datang kekal.
Tempoh pemerintahan GRS sepatutnya berakhir pada Oktober 2025, namun, penganalisis politik tidak menolak bahawa PRN akan diawalkan.
Ketika ini, blok kerajaan negeri dianggotai GRS-PH dan Pas mempunyai 50 daripada 79 kerusi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, manakala pembangkang terdiri daripada BN/UMNO dan Warisan mempunyai 29 kerusi termasuk ADUN dilantik.
Pada 13 November tahun lalu, Hajiji membayangkan, kemungkinan PRN Sabah diadakan seawal tahun depan walaupun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kurang dua tahun lagi.
Pada 18 November tahun lalu, media melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Warisan bagi menghadapi PRN Sabah.
Pada 14 Disember tahun lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie dilaporkan berkata, tidak mustahil Warisan bekerjasama dengan UMNO Sabah untuk kepentingan rakyat negeri ini.- UTUSAN











