Gabungan Masjid Wilayah Jengka kumpul dana tingkat program keagamaan, kemasyarakatan - Utusan Malaysia

Gabungan Masjid Wilayah Jengka kumpul dana tingkat program keagamaan, kemasyarakatan

MUHAMMAD SHAHRIL Mohd. Saleh (duduk, dua dari kiri) diraikan dalam majlis Jasamu Dikenang sempena pertukaran pegawai agama Felda Wilayah Jengka di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Gabungan Masjid Wilayah Jengka akan meningkatkan program keagamaan dan kemasyarakatan di semua 35 masjid di wilayah itu tahun ini bagi memberikan kesan positif kepada komuniti setempat.

Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, transformasi sesebuah masjid perlu terus dilakukan dan tidak tertumpu hanya tempat beribadah semata-mata tetapi menjadikannya mesra dan selesa untuk semua komuniti.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, bermula bulan ini, pihaknya giat mengumpul dana bagi melaksanakan program-program keagamaan dan kemasyarakatan pada tahun ini.

“Sepanjang tahun lalu, banyak program besar dilaksanakan. Ia termasuk memberi bantuan kepada mangsa banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain bencana.

“Kita juga melaksanakan program Ziarah Kasih bagi memberi bantuan kepada pesakit kronik yang memerlukan. Insya-Allah ia akan diteruskan pada tahun ini.

“Kita mengalu-alukan semua masjid di Wilayah Jengka dan pelbagai pihak diluar sana menyalurkan sumbangan kepada tabung Gabungan Masjid Wilayah Jengka,” katanya pada majlis Jasamu Dikenang sempena pertukaran pegawai agama Felda Wilayah Jengka, Muhammad Shahril Mohd. Saleh yang bertukar ke Felda Wilayah Gua Musang, Kelantan di sini semalam.

Tempat Muhammad Shahril digantikan oleh Abd. Rahman Sabtani dari Felda Wilayah Kuantan.

Razak berterima kasih kepada Muhammad Shahril atas sumbangan sepanjang berkhidmat sebagai pegawai agama Wilayah Jengka.

“Program yang sangat berjaya semasa Muhammad Shahril bertugas bersama Gabungan Masjid Wilayah Jengka adalah Masjid Felda Jengka 19 juara peringkat kebangsaan Anugerah Masjid Contoh,” katanya.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada Pengarah Felda Wilayah Jengka, Tarmizi Lee kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjawat jawatan Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan dan Gabungan Masjid Wilayah Jengka bagi sesi 2024 hingga 2026.

“Insya-Allah saya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Zariah Harun apabila menang tanpa bertanding jawatan Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Wilayah Jengka sesi 2024-2026 dan Arifin Abd. Wahab yang dipilih sebagai Ketua Peneroka Wilayah Jengka baharu menggantikan Sulaiman Bakar,” katanya.

Pihak yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Gabungan Masjid Wilayah Jengka boleh berbuat demikian menerusi akaun nombor Bank Islam Tetuan Gabungan Masjid Wilayah Jengka, 06037010028344. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya