WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mempunyai lebih 20,000 anggota Tentera Laut dan Kor Marin dan ratusan pesawat selepas 9,000 lagi askar dihantar ke Asia Barat dengan menaiki kumpulan kapal ke rantau itu.
Pengerahan terbaharu itu membabitkan sejumlah kapal perang dan berpotensi menyaksikan sehingga tiga kapal pengangkut pesawat AS berada di rantau itu menjelang akhir Oktober atau November.
Kumpulan kapal terbaharu itu kini dalam pelayaran dari Pasifik ke Asia Barat membawa lebih 7,000 anggota Tentera Laut dan 2,000 anggota Kor Marin.
Ia termasuk kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt yang berlepas dari San Diego pada 27 September.
Kapal penjelajah USS Chosin dan kumpulan kesiapsiagaan kapal amfibia USS Makin Island yang membawa kira-kira 2,000 anggota Kor Marin bersama kapal pendaratan USS John P. Murtha dan USS Anchorage terlibat sama dalam pengerahan itu.
Perkembangan itu merupakan antara penumpuan terbesar kekuatan tentera laut AS di Teluk dan Laut Arab sejak pencerobohan Iraq pada 2003.
Kapal pengangkut pesawat USS George H. W. Bush dan USS George Washington kini sudah berada di rantau berkenaan, manakala kumpulan kesiapsiagaan amfibia USS Boxer beroperasi berhampiran Selat Hormuz.
Jika USS Theodore Roosevelt tiba, Tentera Laut AS akan kembali mempunyai tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat di Asia Barat, jumlah yang sama seperti ketika perang bermula.
Tentera Laut AS sebelum ini menempatkan tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat di Asia Barat pada April lalu, kali pertama sejak 2003.
USS George Washington yang lazimnya ditempatkan di Lautan Pasifik dipindahkan ke Asia Barat bagi menggantikan USS Abraham Lincoln, yang menjalani penugasan panjang sehingga anak kapalnya berada di laut selama lebih 260 hari berturut-turut.
Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, pihaknya tidak mendedahkan jadual pergerakan unit ketenteraan atas faktor keselamatan operasi.
Pengerahan itu berlaku ketika Presiden Donald Trump sekali lagi memberi amaran bahawa serangan baharu terhadap Iran berkemungkinan akan berlaku. Perang Asia Barat bermula pada 28 Februari.
Trump sebelum ini menegaskan kemungkinan peningkatan serangan udara terhadap serangan di Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada November, ketika pentadbirannya berdepan kebuntuan menamatkan konflik di rantau berkenaan.
Pegawai AS memberitahu The Wall Street Journal (WSJ), pengukuhan kekuatan ketenteraan itu bertujuan memperluas pilihan Washington sekiranya rundingan dengan Teheran menemui kegagalan.











