ECRL beri manfaat kepada pekerja tempatan - Utusan Malaysia

ECRL beri manfaat kepada pekerja tempatan

PROJEK ECRL bakal menawarkan perkhidmatan kereta api penumpang pada kelajuan 160km/j serta kereta api kargo dengan kelajuan 80 km/j.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Komunikasi bukan penghalang kepada pekerja tempatan yang bertugas di tapak stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 10 di Gebeng di sini menimba pengalaman bekerja di situ meskipun dikelilingi dengan kakitangan warga China.

Bagi Nor Azlin Nadira Abd Rahman, 30, yang bertugas sebagai juruukur bahan, isu berkaitan masalah komunikasi di tempat kerja sering menjadi persoalan ahli keluarga dan rakan sebaik sahaja dia memulakan tugas di situ sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan masalah berikutan semua pekerja menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara.

Berkongsi pengalamannya bekerja di tapak projek ECRL itu, Nor Azlin Nadira berkata, antara kelebihan adalah tempoh berehat lebih panjang berban­ding syarikat tempatan.

“Di China, mereka sudah biasa diberikan tempoh berehat dua jam untuk pekerja makan dan tidur sekejap, tidak seperti di Malaysia, tempoh rehat kita biasanya adalah satu jam,” katanya dari Dungun, Terengganu.

PENGALAMAN

Seorang lagi pekerja warga tempatan, A.Gunaseelan, 40, berkata, pengalaman sebagai penyelia pengimpal di tapak projek mega itu memberi peluang buatnya mengembang pengetahuannya dalam bidang kimpalan.

Dia sudah enam bulan be­kerja di situ berkata, cara bekerja tidak banyak berbeza kecuali penggunaan mesin dari China yang disediakan di sini.

“Bekerja di sini memberi peluang buat saya menimba pe­ngalaman mengendalikan mesin-mesin dari China,” katanya.

Dalam pada itu kedua-dua pekerja di tapak stesen ECRL Seksyen 10 itu rasa bangga menjadi antara anak Malaysia yang terlibat dengan projek infrastruktur berimpak tinggi yang dijangka beroperasi pada Januari 2027. ECRL bakal menawarkan kereta api penumpang pada kelajuan 160 kilometer per jam (km/j) serta kereta api kargo dengan kelajuan 80 km/j. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN