400,000 hidap penyakit berjangkit

400,000 hidap penyakit berjangkit

ASAP tebal menyelubungi bandar Khan Younis susulan serangan tentera rejim Zionis ke atas bandar di selatan Palestin itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memasuki hari ke-100 serangan Israel ke atas bumi Palestin, sistem kesihatan di Gaza kini di ambang malapetaka dahsyat apabila bukan saja terpaksa merawat mang­sa perang, malah kini berdepan ancaman baharu disebabkan kira-kira 400,000 rakyatnya menghidap pelbagai penyakit berjangkit.

Lebih malang lagi, masih belum ada tanda-tanda perang akan reda dalam masa terdekat walaupun negara Zionis tersebut kini berdepan pertuduhan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Keadaan itu, mengundang kebimbangan pelbagai pihak memandangkan sistem kesihatan di Gaza tidak terkecuali menjadi sasaran tentera Zionis sejak perang pada 7 Oktober lalu.

BEROPERASI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, sebanyak 76 fasiliti kesihatan termasuk 23 hospital di seluruh wilayah tersebut kini sudah tidak lagi beroperasi.

Katanya, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sistem kesihatan di utara wilayah tersebut kini sudah runtuh apabila semua hospital, klinik dan fasiliti lain menjadi sasaran rejim Zionis.

“Ditambah dengan bekalan perubatan dan peralatan yang semakin berkurangan serta kehilangan tenaga kerja, sistem kesihatan di Gaza khususnya di sebelah utara lumpuh sepenuhnya. Ia mengundang penularan wabak berbahaya dan mengakibatkan lebih banyak kematian.

“Keadaan tersebut amat membimbangkan kerana masih terdapat kira-kira 500,000 rakyat Palestin berada di utara Gaza yang kini terkepung akibat operasi ketenteraan berterusan yang dilaksanakan tentera penjajah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sharif berkata, sena­rio sama turut berlaku di kawasan selatan Gaza apabila jumlah penduduknya meningkat kepada 1.8 juta orang berbanding 250,000 sebelum perang.

“Dengan kepadatan penduduk meningkat mendadak pada masa sama, hampir 70 peratus fasiliti kesihatan di selatan menjadi sasaran serangan rejim Zionis ia menyebabkan penularan wabak berbahaya di kalangan pelarian.

“Sekiranya keadaan sebegini berterusan, mungkin sebulan lagi sistem kesihatan Gaza akan runtuh sepenuhnya. Ia akan mengakibat lebih banyak kematian bukan sahaja disebabkan bedilan bom tentera Israel malah akibat penyakit berjangkit,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 23,843 rakyat Palestin terbunuh dalam peperangan sejak 7 Oktober lalu dengan 7,000 lagi masih hilang dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.

70 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN