Pesara guru rugi RM480,000 ditipu sindiket penyamaran dalam talian - Utusan Malaysia

Pesara guru rugi RM480,000 ditipu sindiket penyamaran dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pesara guru wanita berputih mata apabila mengalami kerugian RM480,000 selepas ditipu sindiket penyamaran sebuah syarikat kurier dan pihak berkuasa secara dalam talian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 56 tahun telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

“Pada 15 November lalu, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai ejen syarikat kurier dan juga pihak polis menyatakan bahawa ada bungkusan yang mengandungi bahan terlarang iaitu buku cek dan kad pengenalan yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa berasa lebih takut apabila diugut akan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Arifai, mangsa seterusnya telah mengikuti segala arahan dengan menekan pautan yang diberikan dan berkongsi maklumat akaun bank miliknya bagi tujuan menyelesaikan masalah tersebut.

“Selepas itu, mangsa berasa curiga dengan urusan tersebut dan telah membuat semakan akaun bank dan mendapati ada pengeluaran wang dari akaun miliknya sebanyak RM480,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelas Arifai, orang ramai justeru diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada pihak yang menyamar sebagai agensi kerajaan atau penguatkuasaan secara dalam talian.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya