PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini dijangka mampu mencapai sehingga 75 peratus jika cuaca cerah sepanjang hari.
Bagaimanapun, pemerhati politik menjangkakan peratusan keluar mengundi susut sedikit berbanding kadar yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
FAKTOR
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penyusutan keluar mengundi adalah ia hanyalah PRK bukannya PRU di mana keputusan Parlimen terbabit menjadi penentu peneraju Kerajaan Pusat.
“PRK ini tidaklah signifikan kesannya secara keseluruhan. Keputusannya tidak boleh menukar kerajaan seperti pilihan raya umum, jadi, pengundi melihat ia tidak mengubah apa-apa.
“Justeru, saya menjangkakan pengundi luar tak akan balik, pengundi atas pagar dan golongan muda juga tidak akan keluar mengundi. Jumlah itu menyebabkan peratusannya kurang berbanding PRU15 lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, faktor cuaca juga menjadi penentu peratusan keluar mengundi khususnya sekiranya hujan melanda di pusat mengundi dan mengakibatkan pengundi memilih untuk tidak menjalankan tanggungjawab mereka.
“Secara keseluruhannya, saya menjangkakan peratusan keluar mengundi antara 60 hingga 75 peratus sahaja jumlahnya,” katanya.
KELEBIHAN
Mengulas mengenai kelebihan keputusan PRK Parlimen Kemaman, Mazlan berkata, beliau percaya calon Pas, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai kelebihan.
Menurutnya, Pas masih menjadi pilihan pengundi di Kemaman memandangkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen tersebut disapu bersih parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari.
“Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa Pas tidak akan mencapai majoriti melebihi 30,000 seperti yang diperolehnya pada PRU15 lalu kerana untuk mendapatkan jumlah itu peratusan keluar mengundi mestilah 80 peratus ke atas.
“Pada masa sama, calon BN iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak boleh dipandang rendah juga kerana PRK ini boleh dijadikan peluang untuk rakyat Terengganu mewujudkan check and balance di peringkat Persekutuan,” katanya.
Hal itu disebabkan pada PRU15, Pas sapu bersih kelapan-lapan kerusi Parlimen di Terengganu manakala pada PRN Julai lalu, Pas dan Perikatan Nasional (PN) menang 33-0 di semua kerusi DUN di negeri tersebut. – UTUSAN










