SHAH ALAM: Allahyarham Adly Zarkasyi Alzafry sempat membuat panggilan video bersama keluarganya beberapa jam sebelum ditemukan maut akibat terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Kampung Baru, Selasa lalu.
Ibu mangsa, Fazlina Fuad, 47, berkata, Allahyarham menghubunginya kira-kira pukul 6.30 petang ketika dia bersama ahli keluarganya yang lain dalam perjalanan untuk pulang ke kampung suaminya di Kangar, Perlis.
“Allahyarham maklumkam yang kelasnya pada hari itu (Selasa) hanya dibuat secara online (dalam talian).

“Jadi, Adly Zarkasyi cakap rugi dia tak ikut kami sekeluarga pulang ke kampung sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Denai Alam, di sini, semalam.
Menurut Fazlina, dia sudah membeli tiket bas untuk Allahyarham pulang ke Kangar pada Khamis.
Namun, dunia menjadi gelap buat Fazlina sekeluarga apabila polis menghubungi suaminya, Alzafry Abu Bakar, kira-kira pukul 8.15 malam memaklumkan Allahyarham maut setelah jatuh daripada kondominium berkenaan.
“Pada mulanya, suami ingat itu adalah panggilan palsu daripada scammer (penipu), tapi setelah anggota polis memberikan telefonnya kepada rakan serumah Allahyarham, kami percaya dengan laporan tersebut.
“Kami ambil keputusan untuk pulang ke Shah Alam pada malam itu juga (Selasa) dan tiba di rumah kira-kira pukul 4 pagi (Rabu lalu),” katanya sambil mengesatkan air matanya.
Ditanya mengenai baju yang Allahyarham cuba ambil dari balkoni rumahnya itu, Fazlina berkata, baju itu mungkin baru dibeli arwah.
“Kebelakangan ini, Allahyarham gemar beli barang di kedai bundle (barangan terpakai) dan mungkin baju itu pun dia beli dari kedai bundle.
“Tapi tak apalah. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” ujarnya yang mengakui Adly seorang yang periang dan sering menceriakan keluarganya. – UTUSAN










