PETALING JAYA: Malaysia mengharamkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM (ZIM Integrated Shipping Services Ltd) dan mana-mana kapal yang menaikkan bendera negara Zionis itu daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini.
Ini larangan pertama seumpama dikeluarkan sebuah negara yang membantah penindasan Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang belum berakhir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa yang berterusan bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.

“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta merta.
“Pada masa sama, kerajaan turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini.
“Kerajaan Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel dari memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia. Kedua-dua sekatan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan semalam.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ZIM berlabuh di Malaysia.
Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia, bagaimanapun, Kerajaan Perpaduan semalam memutuskan membatalkan kesemua keputusan Kabinet terdahulu.
YAKIN
Dalam pada itu, kata Anwar: “Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.”
Sebelum ini, Gerakan Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) Malaysia dilaporkan menggesa kerajaan menghalang kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang.
Menurut BDS Malaysia, ZIM dijadualkan berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Lembaga Pelabuhan Klang telah diarah untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas.
“Selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, syarikat perkapalan, ZIM, tidak akan dibenarkan untuk berlabuh di pelabuhan- pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta merta.
“Ini bermaskud kapal ZIM yang dijadualkan untuk berlabuh di Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini tidak akan dibenarkan,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor dalam kenyataan berasingan mengalu-alukan pendirian tegas Anwar.
Sehubungan itu, PUM menggesa supaya tindakan tegas Perdana Menteri turut dilakukan negara-negara lain yang perlu bertindak atas kesedaran kemanusiaan dan dan pembelaan kepada hak asasi manusia yang sedang dicabuli zionis Israel.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia tidak berdepan tekanan antarabangsa termasuk sekutu Israel ekoran keputusan tersebut kerana dasar luar Malaysia yang jelas tidak mengiktiraf Israel.
KESAN
Malah keputusan tegas Malaysia itu juga tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara memandangkan Israel bukanlah rakan dagangan utama negara.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, keputusan Malaysia jelas konsisten dengan resolusi Perhimpunan Agung PBB berhubung keamanan sejagat.
Sebaliknya, beliau berkata, negara Zionis tersebut berkali-kali melanggar ketetapan PBB khususnya dalam isu konflik di Palestin.
Pada masa sama, beliau berkata, keputusan itu juga tidak menjejaskan ekonomi negara walaupun setiap kapal yang berlabuh di pelabuhan membawa adalah salah satu sumber kewangan untuk Malaysia.
“Saya tidak melihat akan berlaku impak negatif kepada ekonomi Malaysia kerana Israel bukanlah rakan dagang utama. Sebaliknya, tindakan negara akan memberi impak negatif kepada ekonomi Israel.
“Bagaimanapun, dari segi magnitudnya atau kesan keseluruhannya belum dapat diketahui kerana Israel masih boleh mencari pelabuhan alternatif untuk berlabuh di sekitar rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN










