‘Jika tidak dibom, kami akan mati kebuluran’

‘Jika tidak dibom, kami akan mati kebuluran’

PENDUDUK Palestin kini berdepan dengan ancaman kebuluran jika perang antara pejuang Hamas dengan Israel berterusan untuk satu tempoh yang panjang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Jika kami tak syahid dibom rejim Zionis, kami mungkin akan mati kerana kebuluran,” kata rakyat Palestin, Fadi Salah Laham.

Begitulah keadaan terkini di Gaza sebuah wilayah yang terkenal dengan julukan ‘penjara terbuka terbesar dunia’ dengan hampir 1.8 juta rakyatnya menjadi pelarian di tanah air sendiri disebabkan kekejaman rejim Zionis.

Dengan peperangan masih berterusan, segala ke­perluan asas setiap seorang rakyat Palestin tanpa mengira usia dinafikan sehinggakan bantuan kemanusiaan yang diutuskan ke wilayah tersebut turutterbatas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fadi Salah, 41, yang juga abang ipar kepada rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, berkata, bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan di seluruh Gaza semakin hari semakin terhad.

Menurutnya, jika kekejaman tentera Israel berlanjutan, maka setiap seorang rakyat Palestin mungkin akan menemui ajal disebabkan pelbagai faktor se­perti kebuluran dan penyakit berjangkit.

“Setiap hari keadaannya bertambah teruk kerana di Palestin kini sedang mengalami musim sejuk. Tanpa makanan, air, ubat-ubatan bahkan pakaian yang sesuai, bagaimana kami hendak melalui tempoh sukar ini.

“Ramai rakyat Palestin yang berlindung di sekitar kawasan Universiti Al-Aqsa sudah mula merungut kerana bekalan makanan, air bersih amat sukar untuk diperoleh ketika ini,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Fadi Salah yang juga salah seorang daripada kira-kira 20,000 rakyat Palestin yang berlindung di fasiliti tersebut berkata, kebanyakan bekalan makanan dan air bersih hampir kehabisan stok.

“Jika bekalan tersebut masih berbaki, harganya melonjak berkali ganda dan jauh daripada kemampuan rakyat Palestin.

“Kebanyakan kami kini bergantung hidup daripada bantuan kewangan atau bekalan makanan daripada NGO (badan bukan kerajaan) namun ia amatlah terhad kerana kapasiti pelarian di sini meningkat setiap hari.

“Buat masa ini, Alhamdulillah, masih ada pihak-pihak yang prihatin seperti Nurul Ain dan beberapa NGO lain menghulurkan bantuan namun jika perang ini berlanjutan, wang sudah tidak berguna jika tiada bekalan makanan tiada,” katanya.

Dalam jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis pada hari ke-73 semalam, angka kematian rakyat Palestin dicatatkan adalah mencecah 20,000 dengan lebih 54,450 cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN