PETALING JAYA: Malaysia perlu membuat kajian semula jika mahu menghidupkan kembali projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Profesor Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, ini kerana kajian yang dibuat sebelum ini sudah lama dan sudah tentu mempunyai perubahan.
Menurut beliau, kebiasaannya kajian perancangan projek sehingga keputusan melaksanakannya itu boleh mengambil masa kira-kira empat atau lima tahun, maka kajian dahulu sudah tidak relevan dan mungkin tidak boleh diguna pakai.
“Jadi ada banyak perkara berubah selepas kajian asal projek yang dibatalkan itu dibuat dan ini yang kena lihat semula.
“Maksudnya, kita sudah ada perubahan guna tanah di sepanjang koridor HSR, perubahan demografi penduduk dan perubahan landskap pengangkutan awam.
“Jadi perlu buat kajian semula. Kena lihat balik andaian yang telah dibuat pada kajian lepas dan jangkaan diramal kajian lepas.
“Adakah andaian dan jangkaan itu masih sama dan telah berubah? Jika berubah, maka apa kesannya kepada visibility projek HSR,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim mahu projek HSR antara Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini, dihidupkan semula.
DIBIAYAI
Antara cadangan baginda adalah projek itu boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta yang mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.
Pada 8 Mac lalu, kerajaan dilaporkan berkata, kerajaan terbuka menghidupkan semula HSR, tetapi tidak mahu membiayai pembinaan projek itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Zaly Shah berkata, kajian itu juga perlu melihat semula kesan kepada industri pengangkutan domestik yang lain yang sudah ditambah baik berbanding kajian lepas.
Katanya, ini kerana jika ia memberi kesan positif kepada satu-satu sektor itu, maka sudah tentu memberi impak negatif kepada sektor pengangkutan lain.
“Kalau sebelum ini mungkin ada pengguna menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bertukar kepada HSR, maka pendapatan KTMB boleh berkurang.
“Selain itu, syarikat bas sudah tidak berdaya maju untuk bersaing dengan HSR, ada syarikat terpaksa tutup terutamanya yang bersaing dengan laluan sama,” katanya.
KAJIAN
Beliau berkata, kajian semula projek berkenaan juga perlu dibuat semula sama ada ia dapat menentukan daya saing HSR untuk menarik bakal penumpang atau sebaliknya.
“Tarikan bakal penumpang juga bukan sahaja (perlu mengambil kira) daripada pengangkutan awam sedia ada tetapi pengguna yang akan mengguna sistem lebuh raya yang ditambah baik.
“Contoh, lebih raya di Johor akan dilebarkan daripada dua kepada tiga lorong. Jadi pergerakan akan bertambah baik dan berkualiti, jadi akan beri impak (kepada HSR).
“Jadi penumpang mesti merasakan berbaloi bayar lebih untuk menggunakan HSR dan sampai lebih cepat, tetapi adakah kita mempunyai jumlah penumpang yang mempunyai pendapatan isi rumah cukup untuk menyokong HSR,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Zaly Shah menyifatkan, projek HSR berupaya mengurangkan kesesakan daripada kenderaan persendirian dari Singapura yang menggunakan lebuh raya domestik.
“Statistik kemasukan pelancong ke Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara dan sebahagian daripadanya masuk melalui pintu gerbang selatan. Jadi mereka mampu menjadi potensi pelanggan utama HSR,” katanya.
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun pula berkata, projek HSR perlu dihidupkan semula bagi membantu meringankan aliran trafik sesak antara Singapura dan Malaysia dan terkenal antara paling sibuk di dunia.
Malah, beliau tidak menolak, sekiranya pengiraan kewangan dan pertimbangan lain adalah tepat, Singapura berkemungkinan berminat untuk mewujudkan semula HSR.
“Ini kerana ia satu projek yang sangat menang-menang bagi kedua-dua negara.
“(Namun) Perancangan kewangan mesti dibuat dengan betul untuk mengelakkan kelewatan selanjutnya.
SWASTA
“Jadi cadangan Sultan Johor supaya inisiatif swasta dalam jangka masa yang panjang adalah satu yang berpotensi untuk dilaksanakan.
“Sebab ia tidak memerlukan kerajaan untuk mengeluarkan sejumlah besar dana dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.
Sementara itu, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, walaupun projek HSR kurang berdaya maju dalam jangka masa pendek kerana kosnya yang mahal, namun ia boleh menjadi satu projek yang berprestij dan dibanggakan.
Selain itu, katanya, projek berkenaan juga dapat mewujudkan nilai tambah dalam bentuk hasil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijana daripada pengguna perkhidmatan itu nanti.
“Perbelanjaan untuk membina HSR walaupun mungkin dibiayai kontraktor dari luar, tetapi akan mewujudkan penglibatan vendor dan kontraktor kecil dan ini menghasilkan sebahagian daripada perbelanjaan modal yang jadi kesan berganda kepada ekonomi.
“Malah, jika projek HSR dilaksanakan dengan pajakan kepada sektor swasta, kutipan tiket itu akan turut menjadi pendapatan negara kerana kemudahan berada di Malaysia.
“Sama juga dengan apa yang dibelanjakan oleh pengguna perkhidmatan HSR selepas turun daripada kereta api. Apabila ada orang berbelanja di Malaysia, tidak kira penduduk tempatan atau pelancong luar, ia akan beri hasil kepada negara dalam KDNK,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, kata Barjoyai, saranan supaya projek HSR itu patut diteruskan dengan pembiayaan sektor swasta dengan tempoh konsesi 30 tahun adalah cadangan munasabah.
Katanya, kaedah pembiayaan seperti itu sudah dilaksanakan ketika pembinaan lebuh raya dan ia menunjukkan kejayaan.
“Jadi kita memberikan konsesi kepada sektor swasta untuk mereka mulakan projek dan konsesi itu diberikan selama 30 tahun misalnya dan selepa 30 tahun dipulangkan semula kepada kerajaan.
“Bagi projek HSR, walaupun mungkin pada awalnya tidak menguntungkan, tetapi ia boleh menjadi satu kemudahan yang perlu kepada semua rakyat.
“Tetapi, kerajaan berkemungkinan patut ada sedikit saham atau apa yang dipanggil golden share dalam projek HSR bagi mengelakkan kerajaan hilang terus kawalan (keatasnya),” katanya.- UTUSAN










