Harapan hidupkan semula Gaza tidak pernah terpadam

Harapan hidupkan semula Gaza tidak pernah terpadam

ANTARA kediaman rakyat Palestin yang musnah akibat serangan tentera Israel di Gaza pada 25 Disember lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun pe­perangan yang meletus di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu memusnahkan ribuan kediaman dan meragut banyak nyawa, namun harapan untuk menghidupkan semula bandar Gaza tidak pernah terpadam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, Gaza masih ada peluang cerah untuk bangkit semula sekiranya Israel keluar daripada negara itu.

BILION

“Tidak dinafikan, untuk membina semula Gaza memang akan memakan kos yang sangat besar, bahkan boleh mencecah berbi­lion ringgit pun, tapi itu bukan masalahnya.

“Kos yang paling besar adalah untuk Israel perlu keluar dari negara Palestin,” katanya di sini semalam.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat ini lebih 7,685 kanak-kanak berumur bawah lima tahun mengalami keadaan yang me­ngancam nyawa, menyebabkan mereka terdedah kepada masalah perkembangan terbantut, pe­nyakit dan dalam kes yang lebih teruk, kematian.

Lebih 4,000 lagi kanak-kanak dikategorikan sebagai kekura­ngan berat badan dan memerlukan rawatan bagi menyelamatkan nyawa. Pengerusi Seketariat Ops Ihsan, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari pula berkata, dalam usa­ha untuk membangunkan semula Gaza, keperluan asas perlu difokuskan dahulu.

“Sekiranya perang dihentikan, perkara utama yang perlu diperhatikan adalah keperluan asas seperti makanan dan air bersih.

“Keperluan asas ini masih lagi kurang di beberapa kawasan terutama di utara Gaza selain dari itu, ubat-ubatan, khemah dan keperluan kebersihan peribadi,” katanya.

Katanya, selepas selesai de­ngan keperluan asas, barulah fokus kepada aspek pembangunan mengikuti standard yang ditetapkan, di mana banggunan itu sesuai untuk didiami.

“Menurut sumber PBB, lebih 45 peratus rumah hancur atau tidak lagi dapat didiami dan rejim Zionis perlu dipertanggungjawabkan dalam kos pembinaan semula Gaza,” katanya.

Katanya, anggaran kasar yang boleh dianggarkan untuk membina semula Gaza boleh mencecah AS$30 bilion.

“Setakat ini, 28 dari 36 hospital tidak dapat digunakan, 279 institusi pendidikan termasuk sekolah dan universiti musnah dan anggaran kasar pembinaan semula adalah melebihi AS$30 billion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN