PETALING JAYA: Pas sentiasa terbuka menerima UMNO bersama dalam Perikatan Nasional (PN) demi semangat penyatuan ummah sekali gus bakal menguatkan lagi gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO bukan sahaja menolak tawaran Pas malah menganggap parti itu bagaikan gila talak’ mahu ‘merujuk’ semula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak pernah menutup pintu atau rundingan kerjasama dengan UMNO dan tidak pernah menganggap parti itu sebagai musuh.
Menurut beliau, kerjasama Pas dan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini juga diterima baik orang Melayu Islam termasuk di peringkat akar umbi dua-dua parti berkenaan sehingga di kampung-kampung.
“Gabungan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam PN akan terus bertambah kuat jika UMNO sertai. Kita tidak pernah menutup pintu tersebut.
“Namun UMNO perlu meninggalkan DAP. Lagi bersama DAP, lagi orang Melayu Islam akan menolak UMNO,” katanya.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar senada dengan Hashim dengan berkata, dasar ‘pintu terbuka’ untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk menghidupkan semula muafakat politik dengan UMNO masih ada.
RUNDINGAN
Bagaimanapun, katanya, sebarang rundingan dengan Pas mesti melibatkan Bersatu sebagai rakan gabungan.
Menurutnya, agenda penyatuan ummah sentiasa menjadi keutamaan Pas dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik.
“Ini kerana dalam PN, tiada timbul siapa yang mendominasi kerana kami sentiasa berpakat dalam membuat keputusan walaupun Pas lebih besar… yang menjadi keutamaan kami ialah kestabilan negara serta rakyat,” katanya.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, terpulang kepada UMNO sama ada mahu menerima pelawaan itu atau tidak.
“Kalau mereka mahu bersekongkol dengan DAP, apa DAP mahu dan boleh mengiakan kenyataan DAP, maka terpulanglah. Kita tidak boleh terima perkara itu.
“Sekarang ini sokongan orang Melayu kepada Pas dan PN, jadi UMNO mahu bertenggek di mana? Takkan DAP nak beri kerusi kepada mereka,” kata beliau.
TOLAK
Bagaimanapun, keterbukaan dan pelawaan Pas itu ditolak bulat-bulat oleh kepemimpinan UMNO, malah Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menganggap Pas ‘gila talak’ mahu berkerjasama semula.
Menurut beliau, setakat ini UMNO belum terbuka hati untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas.
“Mungkin ada pihak yang telah kegilaan talak kerana mereka pernah berada dalam kerajaan dahulu. Alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi mereka terus jadi pembangkang.
“Kita harap mereka terus berdoa, untuk tidak melakukan kekencingan (penipuan) sekali lagi kepada UMNO yang menyebabkan UMNO tak langsung mahu membuka jalan setakat ini.
“Allah belum buka lagi hati kami menjalin semula kerjasama politik dengan mereka. Kami harap mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkah,” kata beliau semalam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, pengalaman lalu membuktikan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) gagal.
“Buat masa ini tidak perlu difikirkan lagi kerjasama UMNO-Pas. Ia tidak ke mana. Asasnya ialah politik. Ia tidak kekal dan tidak bermanfaat.
TERLEPAS
“Peluang itu terlepas sejak gagalnya MN. Ketika itu isu ICERD dan Statut Rom menyatukan UMNO-Pas. Tetapi bila faktor politik masuk ia membantut kerjasama itu,” katanya dalam kenyataan.
Isu kerjasama UMNO-Pas tercetus selepas anggota Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil membangkitkan bahawa Ahmad Samsuri boleh dilantik menjadi Perdana Menteri jika PN berjaya memujuk UMNO untuk bermuafakat semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Ahmad Samsuri menang besar dalam Pilihan Raya Kecil Kemaman dan menewaskan Barisan Nasional (BN).
Susulan itu, Puad berkata, kerjasama yang dibangkit semula hanyalah marriege of convenience (tujuan politik) kerana PRK Kemaman.
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, biarpun Pas terbuka bekerjasama dengan UMNO, namun UMNO tidak mahu dipatuk ular di tempat sama dua kali.
Menurut beliau, UMNO sudah memberi peluang kepada Pas untuk bersama dan sudah ‘bertahalufsiasi’ atau bekerjasama dengan kepentingan Islam dan Melayu dengan parti itu.
Malangnya, beliau berkata, Pas mengkhianati UMNO dengan menubuhkan PN bersama Bersatu. – UTUSAN










