PETALING JAYA: Universiti-universiti tidak perlu mengejar untuk menjadi institusi terbaik antarabangsa sebaliknya badan penarafan itu yang sepatutnya mengejar untuk memberikan anugerah itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Canselor Universiti Kebangsaan (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, jika universiti itu sememangnya terserlah dan menyumbang kepada pembangunan serta kelestarian negara maka secara sendiri institusi itu mendapat pengiktirafan dan kedudukan taraf universiti antarabangsa terbaik.
Selain itu, menurut beliau, penarafan antarabangsa sepatutnya berdasarkan program dan reputasi akademik, jaringan penyelidikan antarabangsa dan mempunyai elemen inovasi sosial.
Beliau berkata, kursus ditawarkan mestilah bersifat kurikulum sedia masa hadapan (FRC), mempunyai elemen-elemen kognitif selain boleh memperkukuhkan kemahiran pelajar.
“Apabila program yang ditawarkan di universiti menarik, kompetitif dan teradun, maka ia membuka mata pelajar luar untuk belajar di universiti tersebut.
“Sepatutnya kedudukan taraf universiti yang mengejar kita dan bukan kita yang mengejar kedudukan tersebut,” katanya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar QS World University Ranking atau penarafan university antarabangsa kerana pendekatan tersebut tidak relevan ekoran timbul percanggahan dan ketidaktulusan terhadap penanda aras yang digunakan.
Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data yang digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.
PENARAFAN
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran pula berkata, pihaknya tidak menolak penarafan universiti antarabangsa kerana perlu ada kaedah bagi menentukan kecemerlangan universiti antara yang hebat dan cemerlang.
“Tetapi jangan sampai lupa matlamat asal penubuhan universiti adalah melahirkan mahasiswa unggul serta mempunyai sahsiah cemerlang seterusnya menjadi pelapis kepimpinan negara.
“Kita boleh jadi seperti Universiti Harvard di Amerika Syarikat jika kita dapat melahirkan graduan cemerlang yang ramai serta menarik syarikat-syarikat luar untuk mengambil pelajar kita.
“Jangan ghairah mengejar kedudukan universiti sehingga lupa matlamat utama penubuhan universiti,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, bagaimana sesebuah universiti mempromosikan sesuatu program juga penting bagi melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan hebat sehingga mampu menarik pandangan syarikat-syarikat ternama.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Shahib @ Shaibudin berkata, UiTM meneruskan matlamat untuk mengangkat martabat masyarakat Melayu dan bumiputera melalui pendidikan yang menjadi asas penubuhan institusi pengajian tinggi awam terbesar itu.
Menurutnya, beliau bersama UiTM enggan terjebak dengan permainan penentuan kedudukan atau ranking melalui penilaian pihak tertentu dalam menentukan kedudukan universiti itu. – UTUSAN










