PETALING JAYA: Malaysia belum ada kaedah saintifik yang boleh meramal secara tepat bencana banjir sama ada lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, peningkatan jumlah hujan tahunan bagi tahun 2020 hingga 2022 tidak boleh dijadikan rujukan bagi menunjukkan berlakunya perubahan iklim.
“Faktor-faktor lain seperti keragaman iklim, perbandaran dan topografi juga boleh mempengaruhi taburan hujan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terkini, dilaporkan seramai 1,224 mangsa banjir di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang ditempatkan di 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah masing-masing.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan amaran pihak berkuasa terutama sekali melibatkan arahan untuk berpindah.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, arahan itu penting bagi mengelakkan kemalangan sekali gus memudahkan kerja menyelamat.
“Sebelum ini, pernah terjadi satu kes di mana orang ramai keluar dari PPS tanpa kebenaran, pulang ke rumah yang mendedahkan mereka dengan kejadian lemas dan keadaan rumah yang tidak selamat,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hujan berterusan tahap waspada diramal melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu dijadual bermula semalam.
Orang ramai di negeri terlibat dinasihatkan berwaspada dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan ribut petir yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih panjang di negeri-negeri utara Semenanjung iaitu sehingga hujung bulan ini.
Sehubungan itu, NADMA turut melakukan persediaan lebih rapi dalam menghadapi Monsun Timur Laut tidak lama lagi antaranya mengadakan perbincangan bersama kerajaan Pusat.
“NADMA juga membuat persediaan sepanjang tahun sebelum Monsun Timur Laut dengan membuat latih amal dan libat urus bersama Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) berkenaan pengurusan bencana,” katanya.- UTUSAN










