PETALING JAYA: Selepas mendirikan rumah tangga dengan Ira Kazar 5 Januari lalu, diperhatikan tidak banyak kisah mengenai pasangan itu.
Senario itu tidak seperti ketika tembelang Syamsul mula-mula dipecahkan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana yang menyaksikan bagaimana satu Malaysia seperti menghentam pengarah tersebut dan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin.
Begitu pun, selepas disangka bahagia hidup bersama Ira, minggu lalu, nama Syamsul kembali hangat apabila didakwa menceraikan wanita berusia 28 tahun itu.
Gosip tersebut masih meninggalkan tanda tanya iaitu sejauh mana kesahihannya dan jika benar, akan menyaksikan perkahwinan mereka hanya bertahan 11 bulan.
Lebih mengejutkan, Syamsul didakwa menceraikan Ira menerusi aplikasi WhatsApp selain dihalau dari rumah.
Malah, jika perceraian berlaku, sesetengah pengguna media sosial berpendapat, tindakan Syamsul tidak berbaloi terutama setelah mengharungi pelbagai rintangan dalam perjuangan menjadikan Ira sebagai isteri.
Lebih-lebih lagi, apabila dia juga terpaksa akur dengan permintaan dan keputusan Puteri Sarah yang waktu itu enggan dimadukan dan lebih rela memegang status ibu tunggal dan membina hidup baharu bersama anak-anak mereka.
Ditanya media, Puteri Sarah memberi jawapan tidak tahu-menahu mengenai perpisahan Syamsul dan Ira dengan alasan dia juga sibuk dengan urusan kerja dan perniagaannya di Indonesia.
Usaha pihak media untuk mendapatkan Syamsul buntu apabila pengarah terkemuka itu lebih selesa bersikap membatukan diri.
Bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam juga gagal dihubungi selain menerusi laporan media sosial, bapa kepada pengarah tersebut turut tidak tahu-menahu mengenai isu perceraian tersebut.- UTUSAN










