TEKA-TEKI calon Barisan Nasional (BN) dan Pas yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman belum terjawab walaupun tarikh penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.
Kedua-dua parti itu saling tidak mahu mendedahkan nama calon masing-masing dan kebanyakan pemerhati politik pula kerap membuat andaian berhubung calon-calon tersebut.
Bakal calon BN yang akan dipertaruhkan nanti mencuri perhatian setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said secara rasmi mengumumkan tidak akan ‘beraksi’ dalam PRK pada 2 Disember depan.
STRATEGI
Sebaliknya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu dilantik sebagai Pengarah Jentera BN PRK Parlimen Kemaman bagi mengatur strategi merampas semula Parlimen tersebut daripada Pas.
Teki-teki calon BN semakin kusut untuk dijawab apabila Ahmad memberi bayangan calon BN yang akan bertanding merupakan individu yang terkenal.
“Insya-Allah satu kejutan besar akan berlaku di Parlimen Kemaman. Calon ini ialah antara nama-nama terkemuka negara,” kata Ahmad.
Antara nama ‘panas’ yang disebut-sebut sebagai calon BN ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, namun difahamkan beliau tidak berminat kerana dikatakan ingin memberi tumpuan kepada tugasnya selaku Pengerusi Felda.
Nama-nama lain pula ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin dan Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Zulkefli Abu Bakar.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan calon BN yang akan bertanding dalam PRK itu pada 13 November ini.
KUNCI
Sementara itu, pada masa sama, pimpinan Pas juga masih ‘kunci mulut’ untuk mendedahkan calon parti tersebut yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi di Parlimen itu.
Spekulasi beberapa nama yang bakal bertanding sebagai calon Pas timbul apabila penyandangnya, Che Alias Hamid dikatakan tidak akan bertanding dalam PRK tersebut.
Nama-nama hebat yang dikatakan bakal bertanding ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.
Terbaharu, muncul pula nama Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan bakal bertanding di Parlimen itu. Bekas Setiausaha Agung UMNO itu sebelum ini juga disebut-sebut sebagai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini memberitahu, setakat ini, Majlis Syura Pas belum menerima senarai nama nama calon untuk dipilih. – UTUSAN










