PUTRAJAYA: Selasa ini, Mahkamah Rayuan akan memutuskan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak.
Pada Rabu pula, komposer dan penyanyi, Muhammad Yasin Sulaiman akan mengetahui nasibnya sama ada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan membebas atau mensabitkannya terhadap tiga pertuduhan dadah.
Rayuan Mohd. Isa akan diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.
PAKAR
Di Petaling Jaya, keputusan terhadap Muhammad Yasin pula akan diumumkan oleh Hakim Faiz Dziyauddin selepas mendengar keterangan seorang doktor pakar dan penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.
Mohd. Isa, 74, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari 2021 yang mensabitkannya atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian hotel di Kuching oleh Felda Investment Corporations Sdn. Bhd. (FICSB).
Mohd. Isa didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md. Arip sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.
Ikhwan merupakan ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. manakala Muhammad Zahid ketika itu adalah pegawai khas politiknya Mohd. Isa.
Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
KETERANGAN
Sementara dalam kes melibatkan Muhammad Yasin pula, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Oktober lalu selepas mengemukakan keterangan satu-satunya saksi mereka iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony.

Dalam bicara bela diri sebelum ini, Dr. Ian Lloyd mencadangkan agar Muhammad Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.
Pertuduhan kedua, Mummad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan ketiga Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya. – UTUSAN










