Tangani upah rendah sebelum rasionalisasi subsidi - Utusan Malaysia

Tangani upah rendah sebelum rasionalisasi subsidi

Penganalisis saran kerajaan tangani isu gaji rendah terlebih dahulu sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi kepada kumpulan sasar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menangani isu gaji dan upah pekerja yang rendah terlebih dahulu sebelum melaksanakan rasionalisasi subsidi yang bakal menyebabkan harga keperluan asas rakyat melambung.

Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji rendah iaitu 82 peratus daripada 6.45 juta pekerja formal bergaji di bawah RM5,000 sebulan.

Kaji selidik Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) pula mendedahkan 84 peratus rak­yat tiada simpanan tetap setiap bulan selain 52 peratus atau separuh daripada mereka tidak dapat menyimpan RM1,000 sebulan untuk kegunaan ketika kecemasan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pe­ngajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, isu pendapatan tidak setimpal perlu ditangani segera agar seiring dengan per­belanjaan isi rumah yang sentiasa meningkat setiap tahun.

Menurut beliau, pertumbuhan upah di Malaysia juga dikenal pasti antara yang terendah dalam negara ASEAN.

Katanya, pelaksanaan gaji progresif dan upah minimum adalah antara jalan penyelesaian kepada masalah pendapatan yang kini jauh lebih rendah daripada kos sara hidup sekali gus terus menghimpit kehidupan mereka.

SUBSIDI

“Maka ukuran pendapatan perlu ditangani bagi menghadapi cabaran rasionalisasi subsidi yang mungkin dikurangkan dan ia boleh menyebabkan kenaikan harga keperluan asas pengguna khususnya dalam kalangan B40 dan M40,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelarasan subsidi mesti dilakukan sekali pun menerima kritikan supaya golo­ngan maha kaya tidak lagi me­nerima manfaat itu termasuk 3.5 juta warga asing.

Anwar berkata, unjuran subsidi tahun ini dijangka mence­cah RM81 bilion berbanding RM64 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, peningkatan gaji dan upah perlu seimbang dengan produktiviti dan kemahiran pekerja agar selari dengan kemajuan teknologi Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) memandang­kan 70 pe­ratus atau 11.5 juta pekerja daripada 16.5 juta tenaga kerja di seluruh negara bagi adalah pekerja tidak mahir.

“Gaji progresif dan gaji minimum tidak cukup untuk mencapai sebuah negara berpendapatan tinggi, tetapi kemahiran dan kepakaran perlu ditambah baik agar produktiviti dapat diper­tingkat bagi memenuhi tuntutan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengumuman Belanjawan 2024 tidak banyak menyentuh pengurangan subsidi seperti digembar-gemburkan namun kerajaan mengambil langkah meningkatkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Malah, menurut beliau, belanjawan itu juga menumpukan terhadap usaha menambah baik gaji penjawat awam selain ke arah pelaksanaan gaji progresif.

Katanya, Malaysia perlu mencontohi kebanyakan negara maju ke arah pengurangan subsidi dan meningkatkan program bantuan tunai kepada golongan memerlukannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN