Subsidi bersasar jimat RM30 bilion kantung negara

Subsidi bersasar jimat RM30 bilion kantung negara

KERAJAAN menetapkan pemberian subsidi akan diberikan kepada kumpulan sasaran yang memerlukannya. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah ke­rajaan melaksana subsidi bersasar secara berfasa tahun depan dapat menjimatkan kantung negara sehingga RM30 bilion dan juga sebagai permulaan menghapuskan mentaliti subsidi dalam kalangan rakyat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tindakan kerajaan mengurangkan serta memulakan pendekatan pe­nyasaran subsidi itu jelas dilihat untuk menstruktur subsidi kepada kumpulan yang benar-benar memerlukannya.

“Jadi kemungkinan lima juta orang akan dapat subsidi petrol manakala subsidi diesel hanya syarikat dan perniagaan yang berjumlah sekitar satu juta.

“Belanjawan 2024 adalah titik permulaan perubahan ke­rana ini petunjuk kepada pengguna untuk perlahan-lahan menghapuskan mentaliti subsidi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin akhbar ini mela­porkan, Malaysia memulakan usaha mengurangkan subsidi tahun depan, kali pertama dalam berdekad kerajaan menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ‘ketempangan’ kewangan negara selain ketirisan berbilion ringgit.

Keputusan Putrajaya itu bertujuan menyeimbangkan per­belanjaan negara selepas pengagihan pelbagai subsidi mencecah lebih RM80 bilion tahun ini berbanding unjuran awal RM63 bilion.

Dalam Belanjawan 2024, ke­rajaan memperuntukkan RM52.7 bilion bagi subsidi dan bantuan berbanding RM64.2 bilion tahun lalu.

Barjoyai berkata, penjimatan itu boleh disa­lurkan untuk manfaat rakyat mahupun pembangunan lain.

“Ia boleh disalurkan kepada institusi Rahmah untuk memperkenal Menu Rahmah atau program Rahmah yang lain dan langkah itu juga mengembalikan kepada kumpulan memerlukan dan berpendapatan rendah.

“Penjimatan itu wujud apabila subsidi petrol dan diesel dirasionalisasi mengikut harga pasaran, maka kerajaan boleh jimat sebab perbelanjaan ke­dua-dua subsidi bahan api itu hampir RM40 bilion,” katanya.

Sementara itu Pensyarah Ka­nan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, subsidi bersasar yang mahu dilakukan perlu mengikut pendekatan baharu.

Katanya, subsidi atau bantuan perlu dalam pelbagai bentuk kerana setiap keperluan rakyat berbeza-be­za.

“Formula subsidi kena lihat kelainan supaya meliputi keperluan berasingan rakyat. Di luar negara ada bantuan penjagaan kanak-kanak, bantuan ibu tunggal dan faedah perumahan.

“Subsidi dan bantuan itu juga hendaklah bukan berdasarkan pendapatan, tetapi perbelanjaan isi rumah. Contohnya, walaupun gaji RM5,000 hingga RM6,000, tetapi perlu ambil kiramereka tinggal di Kuala Lumpur, perbelanjaan mahal, anak pula ramai.

“Sebab walaupun gaji menyamai golongan M40, tetapi perbelanjaan tinggi menjadikan mereka seperti kumpulan B40,” katanya.

Beliau pada masa sama bimbang subsidi bersasar terutamanya petrol mungkin sukar untuk dilaksanakan bagi menilai sama ada individu itu mampu atau sebaliknya.

“Kemungkinan boleh diimbas melalui kapasiti enjin kende­raan atau jenis kendera­an itu sama ada mewah atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN