PM: Susun semula subsidi tidak munasabah - Utusan Malaysia

PM: Susun semula subsidi tidak munasabah

ANWAR Ibrahim bersama petugas kesihatan pada Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Ipoh semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan akan menyusun semula kaedah pemberian subsidi yang tidak munasabah sehingga turut dinikmati golongan bergaji jutaan ringgit dan warga asing sehingga membebankan kewangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungan subsidi kerajaan antara paling tinggi berbanding negara-negara dunia lain dan kerana itu pemberian subsidi perlu disusun semula.

Menurut beliau, pemberian subsidi seperti petrol, rawatan di hospital kerajaan dan menunaikan haji boleh diteruskan tetapi sistemnya perlu diubah agar kumpulan bergaji jutaan ringgit sebulan serta warga Thailand dan Singapura membayar kos sebenar barang dan perkhidmatan ditawarkan.

“Saya cuma fikirk kaedah subsidi ini kadangkala sampai tak munasabah. Kalau ditanya saya apakah subsidi minyak boleh diteruskan, ya (boleh diteruskan) tapi janganlah subsidi ini juga dinikmati berjuta-juta orang asing. Orang Singapura masuk Malaysia pun dapat subsidi minyak, orang Thailand masuk Malaysia pun kenderaan dia dapat subsidi minyak.

“Orang paling kaya yang ada kereta Mercedes sampai empat lima buah pun kita bayar subsidi juga.

“Jadi kita kena susun semula subsidi yang disebut rasionalisasi subsidi supaya kita dapat manfaatkan kepada yang memerlukan dan yang berhak,” kata beliau berucap pada Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Pe­ringkat Kebangsaan 2023 di sini semalam.

Menurut beliau, kerajaan bo­leh meneruskan dasar popular dengan meneruskan subsidi namun jika tidak disekat akan menyebabkan negara terus menanggung berhutang.

Kata Anwar, hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion dan menambah hutang bukan cara baik untuk sesebuah kerajaan menguruskan negara.

“Menurut pakar ekonomi, mengurus ekonomi negara sama seperti mengurus ekonomi rumah tangga. Kalau pendapatan bulanan RM2,000 tetapi berbelanja sampai RM4,000, ini menyebabkan orang lain susah. Sebab itu saya kata kita tak mahu tambah hutang,” katanya.

DINIKMATI

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, antara pendekatan untuk memastikan subsidi dinikmati golongan sasar ialah seperti rawatan di hospital kerajaan dengan memastikan rakyat miskin boleh menerima rawatan dengan bayaran sedikit malah ada juga yang percuma.

Namun, kata beliau, apa yang berlaku ketika ini subsidi rawatan kesihatan turut dinikmati golongan yang kaya seperti dinikmati kumpulan tidak bernasib baik.

“Jadi salahkah kalau kerajaan kata kita kekalkan rawatan, tingkatkan dan berikan rawatan lebih baik bagi seluruh rakyat tapi golongan yang paling kaya kita kena bayaran lebih tinggi.

“Ada orang yang gajinya RM40,000 sebulan, ada yang gaji RM1 juta sebulan, Tabung Haji bagi subsidi kerana pencarum Tabung Haji dapat subsidi.

“Tapi saya dapat laporan ada yang pendapatannya sampai RM1 juta sebulan, jadi kenapa dapat subsidi kerajaan lagi? Kalau nak haji mabrur, bayarlah sendiri pergi haji, TH cuma akan bantu dari segi pengurusan.

“Kita bagi subsidi kepada petani, nelayan, pekerja dan pegawai kerajaan, polis, tentera, ini okey untuk kita terus beri subsidi.

“Sebab itu tahun ini Tabung Haji buat pertama kali menetapkan mereka yang kaya tidak dapat subsidi, dia bayar sendiri (untuk menunaikan haji),” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN